Zuliaty Zulkiffli

KEMATIAN ikan paus yang ditemui terdampar di pantai Kuala Sala, Selasa lalu, berpunca daripada masalah saluran pernafasan akibat termakan lumpur, dan kelaparan.

Pegawai Penyelidik Perikanan, Ketua Cawangan Mamalia Marin, Institut Penyelidik Perikanan (FRI) Rantau Abang Dungun, Terengganu, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, penemuan itu diperoleh hasil bedah siasat yang dilakukan terhadap ikan itu untuk mengetahui punca kematiannya, 10.30 pagi tadi.

Bedah siasat turut dilakukan terhadap ikan lumba-lumba yang ditemui di kawasan pantai Alor Ibus, Jalan Kuala Kedah, semalam.

Mohd Tamimi berkata, pihaknya percaya ia adalah anak ikan paus yang baru lahir.

“Mamalia dianggarkan berat 1.5 tan dan sepanjang empat meter itu mungkin masih menyusu dan dipercayai kelaparan akibat terpisah dari ibunya, sebelum ditemui terdampar oleh pencari ketam pada hari kejadian.

“Ketika anak paus betina spesis Bryde ini mengambil udara, kemungkinan lumpur termasuk sekali ke dalam badannya dan memenuhi bahagian paru-parunya yang menyebabkan kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses bedah siasat di lokasi penemuan paus berkenaan hari ini.

Proses bedah siasat turut dibantu Pegawai Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah, Syarifah Syazana Syed Ahmad.

Bangkai anak ikan paus dan lumba-lumba ditanam selepas proses bedah siasat. FOTO SHAHRIZAL MD NOOR
Bangkai anak ikan paus dan lumba-lumba ditanam selepas proses bedah siasat. FOTO SHAHRIZAL MD NOOR

Mohd Tamimi berkata, sebelum ini pihaknya menerima maklumat sekumpulan penyelam menemui tiga ikan paus di kawasan Pulau Payar, Langkawi 9 Mac lalu, dan seekor daripadanya mungkin ikan yang ditemui mati ini.

Menurutnya, kematian ikan lumba-lumba pula dipercayai akibat sakit perut berpanjangan disebabkan penemuan tulang yang tidak dihadam di dalam perutnya.

“Bedah siasat mendapati bahagian dalaman ikan itu sudah terburai dan bahagian perut serta usus dipenuhi banyak tulang.

“Ia mungkin mengalami sakit perut berpanjangan disebabkan perutnya tidak dapat menghadam makanan kerana dipercayai tulang ikan menutup laluan saluran makanan hingga menyebabkan ia lapar berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata, ikan spesis empesut Irawadi Dolphins atau nama saintifiknya, Orcaella Brevirostris dengan ukuran panjang 2.5 meter, ukur lilit 1.2 meter dan anggaran berat 250 kilogram ia adalah betina dewasa.

Menurutnya, kedua-kedua spesis ikan ini dipercayai mati sejak lima hari lalu berikutan keadaan bangkai berkenaan.

“Kita tanam anak ikan paus dan lumba-lumba di kawasan ini dan akan kembali semula bagi mengambil rangka kedua-duanya untuk diawet.

“Ia kemudian akan dipamerkan di galeri FRI spesis terancam untuk ditonton kepada umum,” katanya.

Beliau berkata, biasanya tempoh empat hingga lapan bulan diambil untuk proses pereputan, dan pihaknya akan datang semula ke sini untuk mengumpul semua tulang sehingga lengkap.

Selain itu, Mohd Tamimi berkata, pihaknya mengambil beberapa sampel untuk ujian histopatologi dan akan menghantarnya ke makmal veterinar dan Institut Penyelidikan Perikanan di Batu Maung, Pulau Pinang bagi tentukan spesis yang tepat.

“Ikan lumba-lumba, paus dan penyu adalah spesis terancam yang ada kita di perairan Malaysia dan kita lindungi spesis ini mengikut Akta Perikanan 1985.

“JIka orang awam menjumpai spesis seperti ini mereka boleh menghubungi Pejabat Perikanan terdekat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, bangkai seekor ikan paus spesis Paus Bryde ditemui terdampar oleh seorang pencari ketam di tepi pantai Kuala Sala, Yan.

Selain itu, ikan lumba-lumba itu ditemui pada hari berikutnya di pantai Alor Ibus, Jalan Kuala Kedah di Alor Setar iaitu kira-kira tujuh kilometer dari Kuala Sala, di sini.

Berita berkaitan

[UPDATE] Paus dari spesis Baleen Whale

Terdampar di Kuala Sala

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 8:22 PM
MOHD Tamimi (kanan) dibantu Dr Syarifah Syazana melakukan bedah siasat terhadap bangkai ikan paus. (Gambar kecil) Lumpur yang ditemui. FOTO Shahrizal Md Noor
MOHD Tamimi (kanan) dibantu Dr Syarifah Syazana melakukan bedah siasat terhadap bangkai ikan paus. (Gambar kecil) Lumpur yang ditemui. FOTO Shahrizal Md Noor