ERIC didakwa hantar komunikasi jelik menghina Sultan Muhammad V dalam laman FB.
ERIC didakwa hantar komunikasi jelik menghina Sultan Muhammad V dalam laman FB.
Nur Lela Zulkipli


PIHAK pembelaan kes bekas pengurus pemasaran yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V akan memfailkan permohonan semakan kehakiman ke Mahkamah Tinggi berhubung isu Perlembagaan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Adam Mohamed@Mamat ketika sebutan semula kes itu di depan Hakim Sesyen, MM Edwin Paramjothy, semalam.

Adam memaklumkan kepada mahkamah bahawa permohonan yang dibuat pihak pembelaan itu bertujuan merujuk kes berkenaan di bawah Perlembagaan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pihak pembelaan turut meminta mahkamah memberikan tempoh dua minggu untuk memfailkan permohonan tuntutan kehakiman berkenaan.

“Kami (pendakwaan) dimaklumkan, pihak pembelaan memohon tempoh dua minggu untuk memfailkan rujukan semakan kehakiman itu bermula hari ini (semalam),” katanya.

Terdahulu, Eric, 45, yang diwakili peguam, New Sin Yew masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan semula ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, Eric didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui profil Eric Liew antara jam 7.01 malam hingga jam 9.23 malam secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik menghina Sultan Muhammad V dalam laman Facebook (FB) miliknya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Komunikasi jelik itu kemudian dibaca jam 8 malam di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, D5, Jabatan Siasatan Jenayah, Tingkat 2, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, pada 6 Januari lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama iaitu denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes.

Pada 9 Januari lalu, majikan kepada pemilik FB Eric Liew, Cisco ASEAN juga memaklumkan bahawa pekerja terbabit tidak lagi bekerja dengan syarikat berkenaan serta menyatakan kenyataan yang dikeluarkan Eric Liew dalam kapasiti peribadi bukan mewakili pandangan Cisco ASEAN.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 7:30 AM