FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nur Lela Zulkipli


PEKEBUN yang sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong di laman Facebook miliknya, menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim MM Edwin Paramjothy bagaimanapun menetapkan 26 April ini bagi tarikh jatuh hukum terhadap Sharil Mohd Sarif, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Sharil didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan laman profil ‘Sharil Chain’, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik berserta sekeping gambar senarai Yang di-Pertuan Agong dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada jam 11.30 pagi, 13 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap OKS bagi memberi pengajaran kepada rakyat Malaysia selain membuktikan kesalahan yang dilakukan adalah berat.

“OKS melakukan kesalahan yang serius dengan memuat naik hantaran yang bersifat kejian melampau dan menghina ketua negara.

“Ia tidak berbaur politik tetapi semata-mata untuk menyerang karektor peribadi Agong.

“OKS juga mencabul perlembagaan persekutuan dengan mengeluarkan kenyataan menghina dan cacian terhadap individu yang mempunyai darjat yang tinggi,” katanya.

Peguam M Dinesh yang mewakili OKS memohon mahkamah supaya menjatuhkan hukuman penjara minimum atas alasan anak guamnya adalah penanggung tunggal dalam keluarga selain sudah mengaku salah atas kesalahan yang dilakukan.

“OKS perlu menanggung bapa dan isteri serta empat anak yang masih kecil. Mohon hukuman penjara yang minimum hanya sebagai pengajaran supaya tidak memudaratkan kehidupan OKS.

“Tindakan OKS mengaku salah juga menjimatkan masa mahkamah dan pihak pendakwaan kerana tidak perlu melalui perbicaraan,” katanya.

Sementara itu, dalam prosiding sama, mahkamah menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes terhadap seorang pekerja khidmat pelanggan wanita TR Thurkai Devi, 32, selaku OKS atas tuduhan sama.

Thurkai Devi sebelum ini didakwa melalui laman Facebook “Thurkai Devi Tangga Raja”, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pautan itu dibaca di laman profil Facebook “Belenggu Fatamorgana” di Pejabat Bahagian Perundangan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Tingkat 14, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Dang Wangi, Kuala Lumpur jam 11.17 pagi, 4 Jun 2018.

Terdahulu, Muhamad Asyraf memaklumkan mahkamah hari ini ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun Thurkai Devi hari ini tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 5:47 PM