LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai mangsa meninggal dunia di hospital selepas dihentak dengan topi keledar.
LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai mangsa meninggal dunia di hospital selepas dihentak dengan topi keledar.
Hadzlihady Hassan


WANITA yang maut selepas dibelasah teman lelakinya dengan topi keledar dalam kejadian di Persiaran Bayan Indah, Georgetown, Sabtu lalu dibenarkan untuk dikebumikan mengikut cara Islam.

Wanita berkenaan, Surinder Kaur Bedi, 37, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dibenarkan untuk dikebumikan mengikut cara Islam selepas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengeluarkan surat pengesahannya.

Dr Wan Salim berkata, pengesahan wanita terbabit memeluk Islam diakui sendiri ahli saudaranya yang hadir bertemu dengan pihaknya, semalam.

Beliau berkata, abang mangsa yang mengadakan pertemuan dengan pihaknya dan turut hadiri seorang kakitangannya memberitahu adiknya ada mengucap dua kalimah syahadah di depannya sendiri serta ibu mereka.

“Berdasarkan keterangan itu, saya tanpa prejudis mengeluarkan surat rasmi menyatakan si mati memeluk agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, ahli keluarga Surinder termasuk ibu bapanya dan empat beradiknya sudah memeluk agama Islam.

Bagaimanapun, kebenaran dikeluarkan Mufti Pulau Pinang itu dipertikaikan beberapa pihak dengan mendakwa wanita terbabit tidak memeluk Islam seperti didakwa ahli keluarganya.

Wanita berkenaan disahkan meninggal dunia pada 5 pagi semalam selepas menerima rawatan di hospital sejak Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan tidak berpuas hati kerana mendakwa teman lelakinya itu curang dan ada wanita lain selain dia.

Tindakan wanita itu menimbulkan kemarahan teman lelakinya yang kemudian naik angin dan memukul mangsa bertubi-tubi menggunakan topi keledar.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che turut mengesahkan suspek sudah ditahan di lokasi kejadian dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siasatan polis mendapati lelaki berkenaan mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah.

Berita berkaitan

'Hentak teman wanita sampai mati'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 9:53 PM