Hadzlihady Hassan


TIDAK mahu teman wanitanya pulang ke Medan, Indonesia, seorang lelaki tempatan sanggup meminta rakan membuat panggilan palsu mengatakan ada bom di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, 9 Ogos lalu.

Panggilan palsu berkenaan dibuat pada jam 1.09 tengah hari menggunakan telefon bimbit yang didaftar atas nama wanita warga Indonesia terbabit yang pulang ke negara asalnya selepas itu.

Susulan daripada itu, polis berjaya menjejaki wanita berusia 38 tahun berkenaan yang kemudian ditahan sejurus dia tiba di LTAPP, semalam.

Wanita terbabit ditahan jam 9.10 malam di pintu terminal ketibaan lapangan terbang berkenaan bersama teman lelakinya berusia 38 tahun yang datang menjemputnya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, hasil siasatan lanjut, seorang lagi rakan mereka iaitu lelaki berusia 22 tahun berjaya ditahan di Jitra, Kedah.

“Hasil siasatan awal mendapati, mereka berada di LTAPP pada hari kejadian kerana mahu menghantar wanita berkenaan pulang ke negaranya.

“Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham antara wanita terbabit bersama teman lelakinya itu yang kemudian meminta bantuan rakan membuat panggilan mengatakan ada bom di LTAPP,” katanya.

Anbalagan berkata, panggilan palsu terbabit dibuat menggunakan telefon bimbit wanita berkenaan dengan harapan jadual penerbangan tergendala.

“Namun, siasatan mendapati ia hanya panggilan palsu dan penerbangan diteruskan seperti biasa serta wanita itu juga pulang ke negara asalnya.

“Kita berjaya mengesan talian digunakan yang didaftarkan atas nama wanita terbabit dan dia kemudian ditahan sejurus tiba di LTAPP selepas hampir sebulan pulang ke negara asalnya dan dua lagi lelaki turut ditahan,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati dua suspek itu masing-masing mempunyai lima rekod lampau bersabit kes dadah dan satu kes jenayah.

“Semua mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 11:23 AM