Hadzlihady Hassan


WANITA warga emas maut selepas terjun dari tingkat 23 kondominium di Solok Thein Teik di Georgetown, hari ini.

Dalam kejadian 3.55 pagi itu, mangsa berusia 66 tahun dilihat melalui kamera litar tertutup (CCTV) menolak kerusi menggunakan troli menuju ke tembok berhampiran lif.

Wanita itu kemudian memanjat kerusi berkenaan sebelum terjun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mayat mangsa ditemui pengawal keselamatan dengan kesan berlumuran darah dan isi perut terburai di koridor tingkat sembilan.

“Hasil siasatan mendapati wanita yang masih bujang itu tinggal di kondominium berkenaan bersama adik lelakinya sejak Khamis lalu.

MAYAT wanita yang terjun dari tingkat 23 kondominium di Georgetown. FOTO Ihsan Polis
MAYAT wanita yang terjun dari tingkat 23 kondominium di Georgetown. FOTO Ihsan Polis

“Mangsa menghidap penyakit kanser pankreas dan dia pernah menjalani pembedahan di perut,” katanya.

Che Zaimani berkata, siasatan lanjut mendapati kes berkenaan tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa patah tulang badan, kepala pecah dan organ dalaman rosak akibat impak ketika dia terjun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 7:06 PM