LELAKI maut selepas kenderaan dipandunya terbabas ke dalam parit di Jalan Lahat - Simpang Pulai berhadapan kilang Stone Link ketika dikejar polis susulan memandu dalam keadaan merbahaya dan mencurigakan awal pagi tadi. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI maut selepas kenderaan dipandunya terbabas ke dalam parit di Jalan Lahat - Simpang Pulai berhadapan kilang Stone Link ketika dikejar polis susulan memandu dalam keadaan merbahaya dan mencurigakan awal pagi tadi. FOTO Ihsan PDRM
Muhammad Apendy Issahak


LELAKI maut selepas kenderaan dipandunya terbabas ke dalam parit di Jalan Lahat - Simpang Pulai berhadapan kilang Stone Link, di Ipoh, ketika dikejar polis susulan memandu dalam keadaan merbahaya dan mencurigakan, hari ini.

Dalam kejadian 2.45 pagi itu, mangsa yang beralamat di Taman Sri Pulai Perdana, Johor, meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya terima maklumat dari orang awam menyatakan berlaku kemalangan jalan raya membabitkan satu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Siasatan awal mendapati, sebelum kemalangan pemandu kenderaan itu cuba ditahan untuk pemeriksaan oleh sepasukan anggota polis yang sedang membuat tugas Ronda Cegah Jenayah di Jalan Pasir Puteh, di Ipoh kerana memandu dalam keadaan merbahaya dan mencurigakan.

“Pemandu Toyota Hilux itu bagaimanapun bertindak memecut dan selepas dikejar sejauh kira-kira enam kilometer yang juga selekoh, kenderaannya hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam parit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat lelaki yang juga pekerja swasta itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk dibedah siasat.

“Semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai yang mendapat maklumat mengenai kemalangan itu ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa tersepit di bahagian pemandu.

“Kenderaan mangsa terjunam ke dalam parit dan pemeriksaan mendapati mangsa tersepit serta disahkanmeninggal dunia oleh pihak polis yang berada di lokasi kejadian.

“Bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat dan seterusnya menyerahkan mayat kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi mengeluarkan mangsa yang diketuai Pegawai Bomba Kanan ll, Mazlan Shaari itu selesai 3.50 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 1:52 PM