MUHAMMAD Irfan Hadi Sulaiman (tiga dari kiri) menunjukkan hasil kerja dilakukan sebagai persediaan untuk menyertai pertandingan di Kazan, Russia. FOTO Safuri Kamarudin.
MUHAMMAD Irfan Hadi Sulaiman (tiga dari kiri) menunjukkan hasil kerja dilakukan sebagai persediaan untuk menyertai pertandingan di Kazan, Russia. FOTO Safuri Kamarudin.
Safuri Kamarudin


PENUNTUT Kolej Komuniti Baling (KKB), Muhammad Irfan Hadi Sulaiman, 22, dari Taman Mesra Kupang terharu apabila dipilih mewakili negara menyertai pertandingan kemahiran Worldskills Competition (WSC) di Kazan, Russia selama enam hari bermula 22 Ogos depan.

Anak ketiga daripada 10 beradik itu bersemangat apabila dipilih mewakili negara dalam kategori pastri dan berazam azam untuk meraih kemenangan bagi mengharumkan negara.

Katanya, selepas belajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra separuh jalan dalam jurusan seni bina, dia berhenti kerana tidak berminat lalu memohon mengikuti kursus di KKB dalam bidang bakeri dan konfeksionari pada pertengahan 2017.

“Selepas menimba ilmu dalam bidang itu, tersemat di hati untuk melangkah lebih jauh bagi mencapai impian.

“Walaupun saya belajar sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak mustahil saya akan berjaya dalam bidang kemahiran,” katanya.

Muhammad Irfan Hadi berkata, dia teruja untuk menyertai pertandingan Worldskills dan memasang impian memenangi pingat emas bagi mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Katanya, meskipun terpaksa bersaing dengan 28 negara dalam pertandingan itu, dia yakin mampu memberi saingan dalam bidang ditandingi.

“Kalau orang lain boleh lakukan untuk negara, saya juga mampu buat yang terbaik.

“Biarpun dari daerah terpencil, namun semangat saya tidak pernah pudar dan berusaha gigih untuk mencapai kejayaan demi negara,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada pensyarahnya yang juga Pakar Negara Bidang Pastri dan Konfeksionari, Rafizi Ramli yang memberi tunjuk ajar tanpa jemu sebelum menyertai pertandingan itu.

Katanya, Rafizi antara juri pertandingan Worldskills Kazan, Russia 2019.

“Hasil tunjuk ajar itu memberi semangat kepada saya untuk mencapai kejayaan dan menjadikan kenyataan bahawa anak kampung mampu bersaing di peringkat dunia.

“Dalam pertandingan ini, saya terpaksa menyiapkan tiga modul diberikan dalam tempoh lapan jam,” katanya.

Muhammad Irfan Hadi berkata, bulan depan dia akan ke Melbourne, Australia untuk menyertai pertandingan persahabatan sebagai persediaan untuk ke peringkat seterusnya bermula 9 sehingga 15 April depan.

Sementara itu, Pengarah KKB, Mejar Bersekutu (PA) Sobah Abd Hamid, berkata, Muhammad Irfan Hadi bukan hanya menjadi kebanggaan kolej tetapi mewakili negara dan doa restu rakyat Malaysia agar ia berjaya dengan menggenggam pingat emas.

“Saya berharap semua memberi sokongan dan dorongan kerana ini kali pertama Malaysia menghantar peserta bagi kategori berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 9:16 PM