KEBAKARAN memusnahkan rumah pusaka milik Khairy dan kereta Proton Perdana abang iparnya. FOTO ihsan bomba
KEBAKARAN memusnahkan rumah pusaka milik Khairy dan kereta Proton Perdana abang iparnya. FOTO ihsan bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


“SELAIN rumah pusaka keluarga musnah, satu-satunya gambar arwah ibu bapa juga hangus terbakar,” kata mangsa kebakaran, Khairy Hazizi Rizuan, 27.

Semalam, rumah berusia lebih 50 tahun yang dihuni Khairy bersama abang iparnya musnah dalam kebakaran di Batu 5, Sungai Tunggul Baru, Tanjung Karang pada jam 7.50 pagi.

Kejadian itu mengakibatkan kediaman dua tingkat terbabit musnah sepenuhnya termasuk sebuah kereta Proton Perdana yang berada di halaman rumah berkenaan.

Khairy berkata, ketika kejadian dia sedang bersarapan di sebuah kedai makan berdekatan manakala abang iparnya bersiap untuk bekerja.

“Kebiasaannya saya bersarapan setiap hari sebelum bergerak ke tempat pengumpulan hasil kelapa sawit yang terletak tidak jauh dari rumah.

“Tidak lama kemudian, saya terkejut apabila dihubungi jiran yang memaklumkan mengenai kebakaran itu.

“Saya bergegas pulang dan mendapati api memusnahkan keseluruhan rumah bersama kereta abang ipar termasuk gambar kenangan ibu bapa saya,” katanya.

Menurutnya, dia reda dengan kejadian itu walaupun terpaksa menanggung kerugian hampir RM50,000.

Khairy berkata, mereka kini menetap sementara di rumah saudara di Batu 6, Sungai Gulang-Gulang, Tanjung Karang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Karang Azmi Abbas berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8 pagi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 2:20 PM