Zuliaty Zulkiffli


PENDUDUK daerah Sik, Kedah diingatkan supaya tidak terdedah terlalu lama dengan cuaca panas bagi mengelakkan strok haba kerana daerah itu mencatatkan suhu tertinggi sehingga mencecah 37.9 darjah selsius berbanding daerah lain.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob berkata, ia berdasarkan sumber Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang mana ia terlalu tinggi dan boleh mengundang bahaya berikutan cuaca panas melampau.

Beliau berkata, pihaknya bersedia memberi bantuan dan rawatan awal jika diperlukan pada bila-bila masa sekiranya ada kes membabitkan strok haba di kawasan tertentu.

“Orang awam termasuk anggota APM sendiri yang bertugas menjalankan operasi perlu minum banyak air bagi mengelakkan hidrasi iaitu kekurangan banyak air disebabkan peluh ketika berada di tempat panas yang boleh mengundang strok haba.

“Kalau boleh berteduh di bawah pokok atau menggunakan payung jika bekerja atau melakukan tugas di tempat panas bagi mengelak risiko itu,” katanya ditemui pada Majlis Perhimpunan Setia bersama anggota APM di Pejabat APM Kota Setar hari ini.

Dalam pada itu, Awang Askandar berkata, pihaknya bersedia untuk menambah lebih ramai anggota mengikut keperluan termasuk aset dan logistik sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA) di Langkawi bermula 26 Mac hingga 30 Mac ini.

Katanya, setakat ini 200 anggota akan ditempatkan di beberapa lokasi sepanjang tempoh LIMA berlangsung selain di menara penyelamat pantai yang menjadi tumpuan pelancong.

“Kita jangka bilangan pelancong akan meningkat berikutan cuti persekolahan ketika itu dan kita akan menyusun untuk meletakkan anggota di kawasan yang menjadi tumpuan ramai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Seperti di Pantai Cenang contohnya, banyak kes membabitkan disengat obor-obor dilaporkan sebelum ini dan kawasan itu bukan saja menjadi tumpuan pelancong tempatan malah juga pelancong asing,” katanya.

Awang Askandar berkata, selain itu, orang ramai yang membawa keluarga dan anak kecil untuk menyaksikan pertunjukan di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi juga perlu berhati-hati bagi mengelakkan terdedah dengan cuaca panas.

Beliau berkata, cuaca panas yang agak tinggi tahun ini boleh mengakibatkan orang ramai pengsan dan sebagai langkah berjaga-jaga, mereka dinasihatkan memakai pakaian yang sesuai ketika berada di kawasan itu.

“Justeru itu, APM turut menempatkan anggota paramedik di kawasan tertentu untuk membantu mangsa sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 2:04 PM