INDIVIDU berusia 65 tahun ke atas, anak kecil berusia lima tahun ke bawah hadapi risiko besar hidap penyakit akibat cuaca panas.
INDIVIDU berusia 65 tahun ke atas, anak kecil berusia lima tahun ke bawah hadapi risiko besar hidap penyakit akibat cuaca panas.
Hartini Mohd Nawi


SEPERTI yang dilaporkan baru-baru ini, terdapat penyakit akibat cuaca panas di negara ini dan amat menyedihkan apabila ada kes kematian dalam kalangan kanak-kanak.

Ini disebabkan suhu yang meningkat dan cuaca lebih panas yang mana keadaan ini boleh menyebabkan strok haba dan penyahhidratan yang teruk.

Perunding Pakar Endokrinologi Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Ch'ng Tong Wooi berkata, ada individu berisiko lebih tinggi apabila terdedah kepada cuaca panas.

"Antara faktornya termasuk usia, tahap kesihatan, keadaan fizikal dan persekitaran di mana mereka berada.

"Namun setiap individu perlu berjaga- jaga dan mengambil langkah mengurangkan pendedahan mereka kepada cuaca panas kerana ia boleh menjejaskan tahap kesihatan dan kesejahteraan mereka," katanya.

Katanya, faktor-faktor yang menyumbang kepada risiko strok haba seperti usia. Individu berusia 65 tahun ke atas dan kanak-kanak kecil berusia lima tahun ke bawah antara yang berisiko kerana lebih sukar untuk mereka mengawal suhu badan mereka

"Kedua, kesihatan atau keadaan fizikal. Pesakit yang menghidap penyakit kronik umpamanya individu yang menghidap penyakit diabetes, masalah pernafasan dan penyakit jantung atau individu yang sedang mengambil ubat-ubatan mungkin terjejas akibat cuaca panas melampau.

"Ibu mengandung dan ibu yang menyusu juga berisiko kerana mereka lebih cenderung untuk mengalami dehidrasi.

JIKA seseorang itu terdedah kepada persekitaran yang panas, mereka perlu memberi tumpuan untuk mengeluarkan haba daripada badan mereka.
JIKA seseorang itu terdedah kepada persekitaran yang panas, mereka perlu memberi tumpuan untuk mengeluarkan haba daripada badan mereka.

"Ketiga segi persekitaran di mana pekerja yang terdedah kepada cuaca panas, contohnya petani, pekerja binaan," katanya.

Dr Ch'ng berkata, memandangkan banyak kawasan di negara kini berhadapan dengan cuaca yang panas dan terdapat kes yang membabitkan anak-anak kecil, adalah penting bagi semua terutama ibu bapa untuk mengenali tanda-tanda dan gejala strok haba dengan lebih awal.

"Antara simptomnya ialah suhu badan tinggi (40 darjah Celsius atau lebih tinggi), kelesuan, sakit kepala, loya dan pening, mengalami masalah pernafasan, kekeliruan dan hilang kesedaran," katanya.

Dr Ch'ng juga menasihatkan bahawa jika seseorang itu terdedah kepada persekitaran yang panas, mereka perlu memberi tumpuan untuk mengeluarkan haba daripada badan mereka.

PIHAK sekolah juga digalakkan mengambil langkah pencegahan terhadap murid sekolah supaya mereka terhindar daripada strok haba.
PIHAK sekolah juga digalakkan mengambil langkah pencegahan terhadap murid sekolah supaya mereka terhindar daripada strok haba.

"Minum lebih air kerana ini akan hidrat semula badan kita dengan cepat. Kita juga boleh minum jus buah-buahan dengan menambah air atau minum minuman sukan untuk menambah elektrolit," kata Dr Ch'ng.

Seterusnya bagi mereka yang berada di persekitaran yang panas terutama untuk kanak-kanak di sekolah, Ch'ng menyatakan semua perlu berhati-hati apabila suhu cuaca mencapai 33 darjah Celsius atau lebih tinggi.

"Guru di sekolah boleh memantau keadaan semasa pelajar dan perlu bertindak cepat apabila mendapati mereka mengalami simptom strok haba.

Pihak sekolah juga digalakkan mengambil langkah pencegahan terhadap murid sekolah supaya mereka terhindar daripada strok haba.

SETIAP orang perlu peka dengan persekitaran.
SETIAP orang perlu peka dengan persekitaran.

"Setiap individu juga disaran menggunakan krim pelindung matahari (sunscreen) apabila berada di luar dan seboleh-bolehnya kurangkan aktiviti di luar rumah," kata Dr Ch'ng.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 6:20 AM