Mohd Farid berpakai adiwira Kamen Rider Black (tengah) bergambar bersama pengantin dan tetamu. FOTO Nor Amalina Alias
Mohd Farid berpakai adiwira Kamen Rider Black (tengah) bergambar bersama pengantin dan tetamu. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


PANAS terik tidak menghalang adiwira ‘Kamen Rider Black’ menceriakan orang ramai dalam satu majlis perkahwinan di Kampung Gajah Mati, Semerak, Pasir Puteh di Kelantan.

Meskipun terpaksa memakai empat lapis pakaian seberat lebih dua kilogram bersama aksesori, Mohd Farid Mohd Lawi, 33, menggagahkan diri melakukannya demi mencari rezeki halal buat keluarga.

Menurutnya, biarpun berdepan cuaca panas, dia tetap menerima jemputan untuk menghiburkan orang ramai dalam majlis perkahwinan itu untuk menjana pendapatan melalui kerjaya sebagai maskot adiwira.

“Sebagai langkah berjaga-jaga dari serangan strok haba, saya elakkan berada di tengah panas, minum air masak dua kali ganda lebih daripada biasa dan tidur secukupnya.

“Saya perlu menahan panas antara empat hingga 12 jam bagi menjalankan tanggungjawab menceriakan majlis keraian dengan bayaran dikenakan mengikut lokasi majlis.

“Selain itu, saya juga akan buka topeng muka setiap 15 minit sekali bagi elakkan bahang,” katanya ketika ditemui di majlis perkahwinan itu, hari ini.

Mohd Farid  (kiri) beramah mesra dengan tetamu. FOTO Nor Amalina Alias
Mohd Farid (kiri) beramah mesra dengan tetamu. FOTO Nor Amalina Alias

Bapa kepada dua anak itu berkata, dia mula mengambil upah sebagai maskot Kamen Rider Black dan Kamen Rider Agito sejak September tahun lalu.

“Kerana terlalu minat dengan adiwira Kamen Rider sejak kecil, saya beli dua kostum itu dengan harga RM3,000 secara atas talian.

“Pada masa sama ia dapat menambah pendapatan sebagai jurujual minuman di kampung di Besut, Terengganu.

“Alhamdulillah sejak mengambil upah menjadi maskot adiwira ini, saya mendapat sambutan menggalakkan untuk majlis perkahwinan dan sambutan hari lahir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 8:27 PM