PENGHUNI PPR berkenaan berbincang dengan peguam. FOTO Mikail Ong
PENGHUNI PPR berkenaan berbincang dengan peguam. FOTO Mikail Ong
Nur Izzati Mohamad


KERAJAAN Pulau Pinang disaran mengadakan pertemuan bersama kesemua penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang diusir keluar dari rumah mereka Rabu lalu, supaya dapat mendengar pandangan mereka sendiri, tanpa campur tangan pihak lain.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau mencadangkan kerajaan negeri ini di bawah pimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dapat mengadakan pertemuan secara lebih konkrit supaya kedua-duanya dapat mencapai jalan penyelesaian terbaik.

Katanya, pihaknya tidak pasti mengenai kesahihan laporan yang didakwa sama ada ia adalah daripada penyewa itu sendiri mahupun terdapat ejen lain yang mengganggu hingga masalah berkenaan sukar diatasi.

“Oleh itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan supaya kerajaan negeri dapat mengadakan perbincangan dan duduk berbincang dengan baik dengan penduduk itu sendiri tanpa diganggu pihak lain untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

“Apa yang pasti mengikut penjelasan EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo memaklumkan bahawa kesemua yang diusir kerana melanggar beberapa syarat seperti yang terkandung dalam prosedur operasi standard (SOP) hingga tindakan penguatkuasaan perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemelut yang dihadapi lebih 20 penyewa PPR Taman Manggis hingga ada menjadikan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) sebagai tempat penginapan.

Terdahulu, Zuraida hadir pada Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Pulau Pinang di Dewan SP Arena, Butterworth, hari ini.

Zuraida berkata, pihaknya akan menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas dalam mendidik masyarakat supaya mematuhi pelaksanaan peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Isu seperti ini tidak akan timbul sekiranya penguatkuasaan yang tegas diambil sejak dahulu lagi dan kini di bawah pemerintahan kerajaan baharu terdapat pihak-pihak lain menjadikannya sebagai isu politik sedangkan kita mahu didik rakyat supaya ikut undang-undang,” katanya.

Ditanya mengenai isu berkenaan timbul berhubung kekurangan unit PPR di negeri ini, Zuraida berkata KPKT sudah mengenal pasti kawasan pembinaan unit PPR baharu iaitu di Gelugor, Teluk Kumbar dan Balik Pulau.

“Selain itu, kita juga akan berbincang untuk mempertimbangkan sama ada akan menggunakan skim sewa beli terhadap penduduk yang menetap di unit PPR itu berbanding skim sewa bulanan RM100 yang dikenakan kerajaan negeri.

“Ia juga adalah langkah untuk kita mendidik rakyat di bawah golongan B40 supaya dapat menguruskan kewangan dengan baik dan memiliki rumah sendiri daripada membazir kepada benda yang tidak perlu,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, PPR berkenaan diarahkan untuk mengosongkan unit masing-masing kerana mereka melanggar beberapa syarat mendiami kawasan terbabit.

Berdasarkan konsep PPR, penyewa dibenarkan mendiami perumahan berkenaan dalam tempoh ditetapkan, iaitu selama lima tahun sahaja.

Bagaimanapun, kesemua penyewa itu sudah menetap lebih 10 tahun dan ada yang melanggar syarat seperti berkahwin dengan warga asing, tidak membayar sewa dan mempunyai kediaman lain.

Berita berkaitan

Diberi hotel, nak balik rumah pula...

'Sila bertenang, beri kerjasama...'

'Terpaksa merempat di KOMTAR [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 3:25 PM