Shamsul Munir Safini dan Zuhainy Zulkiffli


SEBAHAGIAN penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin, dekat Georgetown, yang diusir dari kediaman mereka semalam masih berkampung di perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), hari ini.

Mereka menjadikan perkarangan itu sebagai ‘rumah kedua’ berikutan sudah tidak ada tempat berteduh selepas rumah masing-masing dikunci pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sejak pagi semalam.

Penduduk berkata, sejak malam tadi, beberapa keluarga daripada 22 penyewa termasuk kanak-kanak yang diusir dilihat membawa barangan mereka dan membentangkan tilam dan bantal, tidur bersama ahli keluarga masing-masing di situ.

Sehingga kini tiada wakil kerajaan negeri tampil berbincang atau memberi bantuan bagi menyelesaikan masalah itu.

Semalam, menerusi kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, penyewa berkenaan diarahkan mengosongkan unit masing-masing kerana mereka melanggar beberapa syarat mendiami kawasan berkenaan.

Katanya, tempoh penyewaan bantuan PPR hanya diberikan selama lima tahun kepada penyewa, namun majoriti penduduk yang diusir sudah menetap di situ antara 10 hingga 11 tahun.

Difahamkan, senarai menunggu kini mempunyai lebih 400 pemohon yang sudah menunggu sejak 11 tahun lalu.

Terdahulu, keadaan di kediaman terbabit bertukar kecoh apabila pegawai Bahagian Perumahan kerajaan negeri bertindak mengunci rumah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, kerajaan negeri, jabatan kerajaan yang menguruskan rumah itu disaran mengambil jalan penyelesaian yang lebih berperikemanusiaan kepada warga PPR, PPRT atau mereka yang menyewa rumah.

“Mereka boleh mengambil tindakan dengan mendenda penduduk yang culas dengan mengadakan dan memberikan kerja khidmat masyarakat seperti gotong royong membersih, mengecat atau membantu program di kawasan PPR atau PPRT itu setiap minggu.

“Ini mewujudkan suasana ‘win - win’ antara rakyat yang kurang berkemampuan dan pihak kerajaan, bukan menghalau mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, memang mereka tidak membayar sewa sehingga 10-11 tahun, tapi kerajaan terdahulu tidak menghalau mereka dengan cara yang kerajaan Pulau Pinang lakukan.

“Apalah sangat sekiranya 20 atau beberapa keluarga yang terbabit didenda dengan beberapa inisiatif seperti yang saya cadangkan sebagai satu daripada cara tindakan kepada mereka. Tidak perlu membayar elaun dan sebagainya. Bukankah cara ini lebih baik dan berhemah dalam membantu rakyat.

“Bagi pemilik rumah yang menyewakannya kepada orang lain, saya setuju kerajaan negeri menarik balik rumah itu dan berikan kepada yang sedang menyewa secara terus membayar kepada jabatan yang terbabit,” katanya.

Menurutnya, dia pernah tinggal di PPR Kerinchi dan tahu betapa susahnya hidup malah tahu ada juga penghuni yang malas bekerja, namun sebagai orang yang berkuasa dan diberikan tanggungjawab, bincang dan berikan solusi terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 11:57 AM
SEBAHAGIAN daripada lebih 20 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Jalan Sultan Zainal Abidin, yang diusir dari rumah masing-masing sejak pagi semalam, masih 'berkampung' di perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dengan menjadikan kawasan itu sebagai rumah kedua kerana tiada tempat tinggal. FOTO Mikail Ong
SEBAHAGIAN daripada lebih 20 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Jalan Sultan Zainal Abidin, yang diusir dari rumah masing-masing sejak pagi semalam, masih 'berkampung' di perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dengan menjadikan kawasan itu sebagai rumah kedua kerana tiada tempat tinggal. FOTO Mikail Ong