SEBAHAGIAN penyewa PPR Taman Manggis yang masih 'berkampung' di pekarangan KOMTAR. FOTO Mikail Ong.
SEBAHAGIAN penyewa PPR Taman Manggis yang masih 'berkampung' di pekarangan KOMTAR. FOTO Mikail Ong.
Muhammad Yusri Muzamir


KERAJAAN negeri menawarkan enam keluarga yang berteduh di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) selepas diusir dari rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di Georgetown, untuk mendiami hotel seliaan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP).

EXCO Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Abdul Halim Hussain, berkata tawaran itu dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Bagaimanapun, beliau berkata, tawaran itu terpaksa ditarik balik selepas penduduk mendesak untuk dibenarkan pulang mendiami kediaman masing-masing, dipercayai akibat terpengaruh dengan beberapa jurucakap yang enggan didedahkan.

“Pada awalnya wakil penduduk sudah bersetuju dengan idea untuk ditempatkan di Hotel Ar-Raudhah di Jalan Kolam, Georgetown, selain turut bersetuju untuk membenarkan mereka mengambil barangan peribadi masing-masing, hari ini.

“Bagaimanapun keadaan tiba-tiba berubah apabila saya tiba di KOMTAR untuk berjumpa dengan mereka, sebentar tadi. Mereka (penduduk) tiba-tiba mendesak untuk diberi kebenaran mendiami semula rumah masing-masing di PPR Taman Manggis.

“Ini (desakan untuk kembali mendiami rumah masing-masing) tidak boleh dibenarkan kerana bercanggah dengan keputusan kerajaan negeri sebelum ini,” katanya ketika dihubungi BH, malam tadi.

Sebanyak enam keluarga membabitkan hampir 40 isi rumah diusir daripada unit kediaman masing-masing di PPR Taman Manggis dan kini berteduh di KOMTAR.

Semua berteduh di pekarangan pejabat pentadbiran kerajaan negeri selepas hilang tempat berlindung, selain ada yang menumpang di surau ekoran arahan pengusiran dikeluarkan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, pihaknya bersedia memberi kebenaran kepada kumpulan penduduk terbabit untuk mengambil barangan peribadi di rumah masing-masing, hari ini.

“Bagaimanapun, mereka perlu keluar semula dari rumah berkenaan, sejurus selesai mengambil barangan peribadi masing-masing.

“Keseluruhan keseluruhan proses ini akan diselia Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) KOMTAR (Teh Lai Heng),” katanya.

Berita berkaitan

'Sila bertenang, beri kerjasama...'

'Terpaksa merempat di KOMTAR [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 12:43 AM