FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Siti A’isyah Sukaimi


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan maklumat pemilih di dalam pangkalan data suruhanjaya itu tidak terjejas susulan gangguan sistem semakan pemilih MySPR Semak dan portal SPR.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, pada masa sama SPR juga menegaskan daftar pemilih pilihan raya (DPPR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N27 Rantau, Negeri Sembilan adalah tidak terjejas.

“Untuk makluman, DPPR bagi PRK DUN N27 Rantau, Negeri Sembilan mula dijual pada 14 Mac lalu.

“SPR juga dijadualkan akan mengedarkan ‘voter’s card’ (kad pengundi) mulai 27 Mac kepada semua pengundi bagi PRK DUN N27 Rantau, Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, masalah dalam membuat semakan nama pemilih melalui MySPR Semak dan Portal SPR adalah disebabkan masalah teknikal yang berlaku apabila aplikasi MySPR Semak dan portal SPR tidak dapat berhubung dengan pangkalan data utama pengundi.

Katanya, kedua-dua kemudahan semakan berkenaan boleh diakses semula mulai 8 malam tadi.

Berikutan itu, beliau berkata, SPR memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 9:35 AM