Hadzlihay Hassan


MENJADIKAN kabin sebagai tempat tinggal dan juga untuk menyimpan barang curi. Itu dilakukan dua ahli geng ‘Tanker’ yang aktif melakukan puluhan kes pecah rumah, curi kereta dan samun warga emas di sekitar Kepala Batas.

Bagaimanapun, perbuatan itu terbongkar apabila mereka berjaya ditahan dalam serbuan di Mak Mandin, dekat Kepala Batas, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dua suspek berusia 38 dan 39 tahun itu ditahan jam 3.15 petang hasil maklumat dan risikan.

Menurutnya, serbuan dalam kabin kosong yang turut dijadikan sebagai tempat tinggal sindiket terbabit berjaya menemui pelbagai peralatan dan barang curi yang jumlahnya dianggarkan RM70, 000.

“Sehari sebelum itu, suspek bersama seorang lagi rakan yang masih bebas dikenali sebagai Sharvin, 30-an memecah masuk sebuah rumah di Taman Mekar, Butterworth dan melarikan pelbagai barangan berharga lebih RM10,000.

NOORZAINY (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas dari geng ‘Tanker’ di bilik media Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas, Pulau Pinang. -Foto RAMDZAN MASIAM
NOORZAINY (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas dari geng ‘Tanker’ di bilik media Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas, Pulau Pinang. -Foto RAMDZAN MASIAM

“Susulan daripada itu, kita berjaya menahan dua suspek terbabit, manakala rakan mereka sedang diburu,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, dua suspek itu tidak bekerja dan mereka juga positif dadah serta masing-masing mempunyai 12 dan 14 rekod jenayah lampau.

“Suspek dikesan memantau terlebih dahulu rumah mewah yang disasarkan dan akan bertindak ketika waktu malam atau penghuninya tiada.

“Bagi kes samun, suspek menyasarkan golongan wanita warga emas yang memakai barang kemas,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek terbabit kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 379A KK dan Seksyen 396 KK,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 5:57 PM