Nur Izzati Mohamad


KOMPONEN alat ganti motosikal Honda EX-5 yang mendapat permintaan tinggi mendorong dua remaja melakukan kegiatan curi kenderaan selepas tamat persekolahan.

Bagaimanapun, kegiatan dua remaja berusia 18 tahun itu berakhir apabila mereka ditahan di Tasek Gelugor 8 April lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis mendapat laporan kehilangan motosikal daripada beberapa mangsa di daerah ini.

“Susulan itu, polis mengadakan Op Lejang dan menahan dua remaja lelaki itu untuk siasatan lanjut.

“Berdasarkan siasatan, mereka berdua menjalankan kegiatan curi motosikal sejak awal tahun ini dan meleraikan komponennya sebelum membuang rangka motosikal ke Sungai Jarak,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Kepala Batas, hari ini.

Jelasnya, komponen alat ganti dileraikan dijual kepada rakan mereka dengan harga murah.

“Mereka hanya mensasarkan motosikal Honda EX-5 kerana mendapat permintaan tinggi.

 NOORZAINY (dua dari kiri) menunjukkan 15 rangka motosikal jenis Honda EX-5 di IPD Seberang Perai Utara. FOTO Ramdzan Masiam
NOORZAINY (dua dari kiri) menunjukkan 15 rangka motosikal jenis Honda EX-5 di IPD Seberang Perai Utara. FOTO Ramdzan Masiam

“Dua remaja ini dipercayai terbabit lebih daripada 10 kes curi motosikal,” katanya.

Noorzainy berkata, polis meminta orang awam yang membeli komponen alat ganti daripada dua remaja ini tampil membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 4:19 PM