NOORZAINY (tengah) bersama pegawai kanannya melihat kereta yang dirampas selepas sidang media, hari ini. FOTO Rosli Ahmad.
NOORZAINY (tengah) bersama pegawai kanannya melihat kereta yang dirampas selepas sidang media, hari ini. FOTO Rosli Ahmad.
Shamsul Munir Safini


CURI kenderaan mewah, seludup ke Thailand dan dapat komisen RM10,000 bagi seunit.

Imbuhan itu yang menjadikan Geng Acu aktif melarikan 21 kenderaan mewah sejak lebih setahun lalu.

Bagaimanapun, aktiviti itu lumpuh selepas sepasang kekasih dan seorang lelaki berusia 26 hingga 36 tahun ditahan di Taman Bertam Ria, Kepala Batas, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, semua mereka diberkas di sebuah rumah pada 12.15 tengah malam, aktif mencuri kenderaan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Katanya, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPDSPU) hasil risikan selama dua minggu.

COP imigresen palsu dan barang lain yang dirampas. FOTO Rosli Ahmad.
COP imigresen palsu dan barang lain yang dirampas. FOTO Rosli Ahmad.

“Kita juga merampas pelbagai barangan elektronik termasuk empat kereta curi di rumah berkenaan yang bernilai RM500,000.

“Selain itu, pasukan berjaya mengesan pembabitan tiga suspek itu dalam 17 kes kecurian kenderaan mewah seperti Toyota Vellfire, Alphard dan pelbagai kereta mewah lain.

“Soal siasat, suspek mengaku terbabit kes itu dan semua kenderaan yang dicuri untuk diseludup ke Thailand, menggunakan dokumen yang dipalsukan termasuk cop Imigresen,” katanya pada sidang media, hari ini.

Noorzainy berkata, sindiket itu juga memalsukan cukai jalan semua kenderaan yang menyukarkan pihak berkuasa mengesan aktiviti jenayah mereka.

Katanya, setiap kenderaan berjaya diseludup membolehkan mereka peroleh komisen RM10,000 dan tiga suspek terbabit hanya mencuri sahaja, manakala kenderaan diserahkan kepada orang perantara yang masih bebas.

Beliau tidak menolak sindiket itu mempunyai rangkaian yang besar di negara ini termasuk negara jiran.

“Selain kes curi ini, penahanan mereka turut menyelesaikan empat kes pecah rumah dan curi kereta di Butterworth.

“Seorang daripada suspek memiliki 22 kes jenayah lampau dan baru sahaja dibebaskan pada November lalu selepas dua tahun dipenjara mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) di Langkawi.

“Keseluruhan kerugian kereta yang dicuri kumpulan ini sejak setahun lalu dianggarkan hampir RM1. 5 juta,” katanya.

Semua suspek direman sehingga 24 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 379A, Seksyen 411 dan Seksyen 29(1) Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:58 PM