Kawasan tanah gambut yang terbakar. FOTO ihsan bomba
Kawasan tanah gambut yang terbakar. FOTO ihsan bomba
Siti A'isyah Sukaimi

Sepang: Kawasan tanah gambut seluas 800 meter persegi di Kilometer 27.4 Lebuhraya ELITE terbakar sejak Rabu lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Yahya Mohd Sham berkata, pihaknya menghadapi kekangan untuk mendapatkan bekalan air selain faktor tanah gambut menyebabkan ia sukar dipadamkan.

"Justeru, kita mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Sepang, pegawai daerah, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kerajaan negeri Selangor dengan membuka bilik operasi 24 jam di kawasan kejadian.

"Sebanyak dua jentera digunakan bagi memadamkan api pada jarak 150 meter semasa operasi jam 2.30 petang semalam namun, api tetap marak kira-kira 200 meter dari dalam tanah," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut membina terusan menggunakan empat jentolak rantai milik TNB di kawasan kebakaran bagi membolehkan api dipadamkan.

Sementara itu, Yahya berkata, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu membakar kawasan tanah gambut berkenaan bagi aktiviti pertanian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 3:20 PM