KEADAAN kenderaan Nissan X-Trail yang terbabas dalam kemalangan di Kilometer 103 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di Maran, semalam. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN kenderaan Nissan X-Trail yang terbabas dalam kemalangan di Kilometer 103 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di Maran, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Shahrinnahar Latib


SEBUAH kenderaan utiliti sukan (SUV) polis yang sedang melakukan rondaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 103 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di Maran, semalam.

Dalam kejadian jam 1.36 tengah hari itu, seorang anggota polis berusia 37 tahun cedera ringan manakala dua lagi rakannya, masing-masing berusia 43 dan 53 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, tiga anggota polis berkenaan sedang membuat tugas rondaan, namun tiba-tiba sebuah lori membelok ke kanan jalan secara mengejut.

“Kenderaan Nissan X-Trail itu cuba mengelak sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan. Bagaimanapun, semua mangsa berjaya keluar dari kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, akibat kejadian itu, mangsa yang cedera menerima rawatan pesakit luar di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

“Kenderaan berkenaan juga remuk dan mengalami kerosakan teruk di keseluruhan bahagian. Siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat kecuaian pemandu treler yang berusia 41 tahun.

“Pemandu treler berkenaan didapati memasuki simpang secara mengejut menyebabkan kemalangan berkenaan. Saksi bebas juga diminta untuk tampil ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, polis juga sudah mengambil keterangan pemandu treler dan membuat ujian air kencing terhadap lelaki berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 2:37 PM