ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan tiga beradik yang maut selepas kereta dinaiki terbabas di LPT1. FOTO Ihsan JBPM.
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan tiga beradik yang maut selepas kereta dinaiki terbabas di LPT1. FOTO Ihsan JBPM.
Roselan Ab Malek


Maran: Tiga individu yang meninggal dunia selepas Perodua Kancil dinaiki terbabas di Kilometer 165.9 Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) dekat sini, hari ini adalah adik-beradik.

Ketika kejadian, Siti Fatimah Yusry, 20, bersama abangnya, Ahmad Basyir, 27, dan dua adik mereka, Saiedah, 15, serta Adawiyah, 11, dalam perjalanan dari Johor untuk menjemput seorang adik beradik mereka yang menuntut di pusat tahfiz di Jerantut.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, kemalangan kira-kira 7 pagi itu dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Siti Fatimah dari arah Kuantan hilang kawalan, sebelum terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan.

"Akibat pelanggaran, tiga mangsa iaitu pemandu (Siti Fatimah) dan dua penumpang (Ahmad Basyir dan Saiedah) meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa (Adawiyah) parah.

"Dia mengalami kecederaan di kepala dan menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

"Mayat semua mangsa yang dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba," katanya di sini, hari ini.

Norzamri berkata, mangsa maut beralamat di Kampung Melayu, Kulai, Johor dihantar ke Hospital Jengka untuk dibedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 3:43 PM