PEKERJA ladang getah milik FGV Plantation di Felda Laka Selatan, Rusman Sukarman, 26, membasahkan muka berikutan cuaca panas yang melanda negara. Fenomena cuaca panas ini dijangka akan berterusan sehingga penghujung Mac ini. FOTO Shahrizal Md Noor
PEKERJA ladang getah milik FGV Plantation di Felda Laka Selatan, Rusman Sukarman, 26, membasahkan muka berikutan cuaca panas yang melanda negara. Fenomena cuaca panas ini dijangka akan berterusan sehingga penghujung Mac ini. FOTO Shahrizal Md Noor
Zuliaty Zulkiffli


ORANG ramai terutamanya golongan petani dan pekerja binaan perlu mengurangkan aktiviti luar pada musim cuaca panas melampau yang turut melanda Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, sekiranya seseorang itu terdedah terlalu lama kepada cuaca panas dan kurang minum air, ia boleh meningkatkan risiko strok haba terutama kepada warga emas dan kanak-kanak.

Beliau berkata, apabila suhu melebihi 35 sehingga 40 darjah celcius, orang ramai akan lebih terdedah kepada strok haba.

"Mereka harus berwaspada dan perlu mengelak terdedah terlalu lama dalam masa 10 hingga 15 minit, secara terus kepada pancaran matahari dibimbangi mengalami kegagalan berpeluh.

"Sudah tentu ia bermula dengan dehidrasi apabila kita berada di luar yang akan mengakibatkan kita berpeluh, mungkin juga disebabkan sibuk bekerja tak sempat minum akhirnya dia menyebabkan kekeringan dalam badan," katanya ketika ditemui semalam.

Dr Ismail berkata, strok haba boleh meningkatkan suhu panas dalam badan dan pitam sehingga boleh mengakibatkan strok.

Beliau berkata, antara simptom awal strok haba apabila berlaku kenaikan suhu mendadak melebihi 40 darjah celcius atau lebih selain kerap sakit kepala, loya dan muntah, kulit kering serta kemerahan (dehidrasi), badan lesu dan kerap pengsan serta nadi berdenyut laju.

Dr Ismail berkata, individu itu juga mudah hilang fokus, lidah menjadi bengkak, serta tekanan darah rendah.

Beliau turut menasihatkan pihak pengurus sekolah supaya mengubah balik jadual pembelajaran terutama aktiviti di luar kelas dan pada masa ini beliau tidak menggalakkan murid atau pelajar sekolah terdedah kepada haba yang panas.

"Kalau ada sukan di luar kelas atau apa-apa aktiviti luar yang tidak boleh diubah jadual, saya sarankan mereka minum banyak air dan percikan air di muka supaya haba panas turun.

"Rawatan awal perlu dilakukan segera di mana-mana klinik kesihatan atau hospital bagi mengelak sebarang komplikasi kepada tubuh," katanya.

Dr Ismail berkata, sekiranya individu mengalami gejala berkenaan dinasihatkan supaya keluar daripada kawasan panas dan segera berteduh di tempat sejuk, letakkan kain basah dan sejuk pada badan, serta gunakan kipas untuk sejukkan suhu.

Menurutnya, sebagai langkah awal, minum air kosong dengan banyak tanpa perlu menunggu dahaga, selain minuman isotonik bagi menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 10:20 AM