Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihatkan supaya banyak minum air bagi mengelakkan daripada mengalami kejutan panas, selain memilih pakaian yang bersesuaian, berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.

Yang Dipertua Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail, berkata minum air yang banyak penting bagi menggantikan elektrolit (mineral dalam darah) dalam badan yang terembes keluar semasa berpeluh.

“Cuaca yang panas memudahkan orang ramai terdedah kepada pelbagai penyakit terutama demam dan apa yang kita paling takuti ialah ‘heat stroke’ (kejutan panas) yang berlaku apabila seseorang itu mengalami suhu badan melebihi 40 darjah.

“Bagi mengelakkan perkara ini terjadi, paling penting pakai pakaian yang tidak tebal, mampu menyerap peluh dengan baik dan minum air yang banyak kerana badan kita akan banyak berpeluh kerana panas,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Ahmad Shukri berkata, apabila seseorang mengalami demam, badan pesakit akan menjadi lemah sekaligus memudahkan berlakunya jangkitan sekunder seperti jangkitan saluran pernafasan (URTI).

“Apabila demam, pesakit mungkin mengalami sakit tekak yang boleh memberi kesan kepada tonsil.

“Kemudian mungkin berlaku jangkitan sekunder iaitu URTI yang boleh menyerang paru-paru dan akan menyebabkan radang paru-paru.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, hari ini, negara pada masa ini sedang berada pada penghujung Monsun Timur Laut dan dijangka berakhir pada penghujung Mac ini.

“Oleh itu, kebanyakan kawasan terutamanya di utara pantai barat Semenanjung Malaysia kurang menerima hujan dalam tempoh yang panjang menyebabkan berlakunya cuaca panas dan kering.

“Menjelang penghujung Mac 2015, cuaca panas dan kering ini dijangka berakhir berikutan bermulanya musim peralihan yang akan membawa lebih banyak hujan,” katanya.

Dr Ahmad Shukri berkata bersempena cuti perayaan Tahun Baru Cina ini, orang ramai juga akan bercuti dan melakukan aktiviti luar, dan mereka perlu memilih pakaian yang sesuai.

“Jika melakukan aktiviti luar, orang ramai dinasihatkan agar tidak memaksa diri sebaliknya melakukan sesuatu bergantung kepada kemampuan diri.

“Seeloknya adalah untuk mengurangkan aktiviti luar terutama yang terdedah secara langsung kepada cahaya matahari terik,” katanya.

Dr Ahmad Shukri berkata sebagai alternatif, mereka boleh melakukan aktiviti luar yang sesuai seperti merentas hutan kerana ia kurang terdedah kepada cahaya matahari.

“Selain itu, pilihlah untuk melakukan aktiviti pada waktu lewat petang ketika keadaan semakin redup bagi mengurangkan risiko atau kemudaratan pada kesihatan diri,” katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 9:22 PM