ANGGOTA Bomba membantu memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba membantu memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir. FOTO ihsan Bomba
Erika George

SERAMAI 23 penduduk daripada empat keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan, hari ini selepas rumah mereka di Batu 5, Jalan Bintulu - Miri, Bintulu ditenggelami banjir.

Hujan lebat yang berterusan sejak tengah malam tadi menyebabkan kawasan penempatan terbabit ditenggelami air setinggi 0.6 hingga 0.9 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, 14 anggotanya dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menyalurkan bantuan sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2 pagi tadi.

“Kita membantu memindahkan kesemua penduduk terjejas, termasuk warga emas ke lokasi selamat menggunakan segala aset yang ada berikutan paras air meningkat secara mendadak.

“Pada masa yang sama, anggota bertugas turut membantu menyelamatkan pelbagai barangan peribadi milik penduduk terbabit, termasuk dokumen penting,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kesemua mangsa kini ditempatkan di Dewan Suarah Bintulu di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Beliau menjelaskan sehingga 8 pagi tadi, paras air banjir di lokasi kejadian semakin menurun, namun pihaknya masih menjalankan pemantauan berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

“Kita turut memantau lima lagi kawasan rendah yang berisiko dilanda banjir kilat iaitu sekitar Jalan Tanjung Kidurong, Taman Milenium, Jalan Abang Galau dan di sepanjang Jalan Bintulu -Miri.

“Orang ramai dinasihatkan agar menghubungi talian kecemasan dengan kadar segera sekiranya kediaman mereka dinaiki air bagi membolehkan kerja-kerja pemindahan dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 9:18 AM