ANGGOTA APM membantu penduduk yang terjejas akibat banjir di Bintulu. FOTO ERIKA GEORGE
ANGGOTA APM membantu penduduk yang terjejas akibat banjir di Bintulu. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


SERAMAI 55 penduduk membabitkan 26 keluarga di Rumah Panjang Lasah Mering, Sungai Tubau, Sebauh terputus hubungan selepas jalan utama ditenggelami air sedalam 1.8 meter pagi tadi.

Beberapa penempatan termasuk Pekan Tubau dan Penyuan turut dilanda banjir kilat susulan limpahan air dari Sungai Tubau akibat hujan lebat sejak malam Rabu lalu.

Jurucakap Pusat Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bintulu berkata, empat anggota APM dikerahkan ke lokasi yang terletak 80 kilometer dari bandar Bintulu sejurus menerima panggilan pada jam 9.30 pagi.

“Anggota APM mendapati laluan menuju ke rumah panjang berkenaan tidak dapat dilalui kerana ditenggelami air,” katanya.

Justeru itu katanya, anggota APM terpaksa meneruskan perjalanan dengan menggunakan bot menuju ke rumah panjang terbabit.

Menurutnya, pihaknya menjalankan pemantauan di sekitar rumah panjang berkenaan susulan paras ari di tahap berjaga-jaga, bagaimanapun belum memerlukan operasi pemindahan kerana struktur rumah panjang yang dibina tinggi.

Hasil pemantauan turut mendapati bekalan air paip rumah panjang terputus akibat banjir.

“Kita turut mengedarkan 26 Kit Makanan Permulaan (KMP) sebagai bantuan awal buat penduduk terjejas sementara menunggu bantuan susulan tiba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 5:41 PM