KELUARGA berkenaan selepas diselamatkan bomba.
KELUARGA berkenaan selepas diselamatkan bomba.
Erika George

LIMA sekeluarga berdepan detik cemas apabila kereta dinaiki mereka terkandas dalam banjir kilat sedalam satu meter di Jalan Tanjung Kidurong, di Bintulu, hari ini.

Pada kejadian jam 2 pagi tadi, mereka yang menaiki Proton Wira dalam perjalanan dari Sungai Plan menuju ke pusat bandar.

Bagaimanapun ketika meredah banjir berhampiran Pantai ABF, kereta itu tiba-tiba terhenti.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, sebaik menerima maklumat, sebuah jentera bersama tujuh anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, anggota kita membantu mengeluarkan kesemua mangsa yang terdiri daripada suami isteri dan tiga anak.

“Mereka dipindahkan ke lokasi selamat berhampiran Taman Matahari,” katanya.

Beliau berkata, tindakan pantas pemandu kereta menghubungi talian kecemasan meminta bantuan berjaya mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya, ini memandangkan arus banjir deras.

“Mangsa kemudian dibawa pulang ke rumah oleh anggota keluarga mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 10:07 AM