Oleh Nur Saliawati Salberi


Shah Alam: Hampir 200 gerai di Uptown Shah Alam musnah dalam satu kebakaran, di Seksyen 24 di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, semua gerai terbabit yang menjual pelbagai barangan keperluan harian dan aksesori musnah namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba negeri Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.57 pagi dan menghantar tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, BBP Kota Anggerik dan BBP Kota Raja ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba dilokasi kejadian enam minit kemudian, api sudah marak kira-kira 50 peratus di kawasan perniagaan larut malam berkenaan.

"Anggota bomba mengawal api daripada terus merebak ke kawasan berdekatan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kebakaran itu berpunca daripada litar pintas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 12:23 PM