PREMIS yang musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan Bomba
PREMIS yang musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan Bomba
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Dua kedai dan dua rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Keloncong, di sini, hari ini.

Kejadian 4 pagi itu membabitkan dua rumah, kedai runcit dan kedai fotostat.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan II Ismadi Mohamad Taib berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.12 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya turut mendapat bantuan daripada BBP Kota Darulnaim, Pengkalan Chepa dan Tunjung dengan keseluruhan pegawai dan anggota terbabit seramai 32 orang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian sebuah rumah sudah 50 peratus terbakar.

"Operasi memadam api terus dijalankan dan api dapat dikawal sepenuhnya pada 5 pagi," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati sebuah rumah musnah 80 peratus, kedai runcit terbakar 20 peratus, kedai fotostat (30 peratus) dan sebuah lagi rumah (10 peratus).

"Punca kejadian dan jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 10:26 AM