ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha memadam kebakaran.  FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha memadam kebakaran. FOTO ihsan Bomba
Hazira Ahmad Zaidi


“Mujurlah ketika rumah sewa terbakar, isteri dan anak keluar beraya di rumah berhampiran,” kata Mohd Farihan Mohd Husin, 34, mangsa kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Rambutan Rendang di Kota Bharu, hari ini.

Dalam kejadian 4.50 petang itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di rumah ibunya di Kampung Jambu yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah sewanya.

Katanya, secara tiba-tiba dia dikejutkan dengan jeritan kanak-kanak di luar rumah memaklumkan rumahnya terbakar.

“Saya bergegas terus ke rumah dengan motosikal dan terkejut melihat api sedang marak. Pada ketika itu saya hanya fikirkan keselamatan isteri dan dua anak masing-masing berusia enam serta setahun yang mungkin berada di dalam rumah.

“Mujurlah ketika sedang mencari mereka di sekitar rumah, jiran memaklumkan mereka keluar beraya,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, api merebak dengan cepat dan dia tidak sempat menyelamatkan barang penting di dalam rumah.

“Saya tidak mampu berbuat apa-dan hanya mampu melihat rumah dijilat api di depan mata.

“Buat sementara waktu, kami sekeluarga akan menumpang di rumah ibu dan berharap diberi kekuatan untuk menghadapi ujian ini apatah ketika umat Islam masih bergembira meraikan hari raya Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Balai Bomba Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Rosli Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.57 petang sebelum lima anggota dengan dibantu 14 anggota dari BBP Kota Bharu ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba, rumah separuh kekal itu sudah 80 peratus terbakar. Tindakan pantas anggota berjaya mengelakkan api merebak ke rumah sebelah.

“Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya 40 minit kemudian,” katanya.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian dianggarkan berjumlah kira-kira RM80,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 8:56 PM