Mohd Hilmie Hussin


LIMA laporan polis dibuat Pemuda Amanah Negeri Melaka, Amanah Kawasan Alor Gajah, Angkatan Wanita (AWAN) Alor Gajah serta Pemuda Amanah Kawasan Alor Gajah terhadap Pesuruhjaya PAS Melaka Kamaruddin Sidek yang didakwa memfitnah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta kerajaan negeri.

Semua laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, laporan dibuat berikutan ceramah oleh Kamaruddin pada majlis ceramah PAS dan UMNO di Kampung Pulau, Durian Tunggal, Alor Gajah, baru-baru ini.

“Dalam ceramah itu, Pesuruhjaya PAS Melaka membuat kenyataan berhubung isu pelantikan jawatankuasa masjid dan isu tabung masjid. Kenyataan dibuatnya tidak tepat serta menjadi satu fitnah yang serius.

“Dia (Kamaruddin) mendakwa kutipan derma infak orang ramai di masjid akan diambil alih MAIM, sekali gus jawatankuasa masjid tidak boleh mengurus sendiri kutipan tabung. Selepas dia sebut perkara itu, dia minta media yang hadir tidak memasukkan kenyataan dalam kandungan berita kerana belum sah, sedangkan video ceramahnya dapat ditonton secara langsung menerusi Facebook,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri.

Selain itu, katanya, Kamaruddin dalam ceramah terbabit turut mendakwa jawatankuasa masjid di negeri ini sudah lapan bulan tidak berfungsi sejak diambil alih kerajaan yang baharu.

Beliau berkata, tuduhan itu bukan saja berniat jahat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi juga kepada MAIM dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang bertanggungjawab menguruskan masjid.

Katanya, isu tuduhan jawatankuasa masjid yang sudah lapan bulan tidak berfungsi sebagai fitnah semata-mata kerana jawatankuasa sedia ada yang dipilih dari zaman kerajaan terdahulu bertanggungjawab sehingga 31 Disember lalu.

“Tempoh jawatankuasa masjid di seluruh Melaka berakhir 31 Disember lalu, dan ketika ini, pegawai syarak bertanggungjawab mengurus sementara masjid sehingga kita jangkakan jawatankuasa baharu lengkap sepenuhnya 20 Februari ini.

“Setakat ini, empat masjid sudah melantik jawatankuasa baharu,” katanya yang memaklumkan terdapat 185 masjid di seluruh Melaka.

Justeru, Mohd Sofi berkata, pihaknya meminta Penasihat Undang-Undang MAIM dan Pengurusan Masjid JAIM meneliti tuduhan dibuat Kamaruddin dan tindakan seterusnya berkaitan perundangan akan diputuskan kemudian.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda Amanah Negeri Melaka Fakhrul Razi Hamdan dalam satu kenyataan berkata, mereka yang membuat laporan polis terhadap kenyataan Kamaruddin, menuntut siasatan dilakukan kerana kenyataan dibuat cuba menghakis kepercayaan masyarakat Islam terhadap pentadbiran Islam oleh MAIM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 3:27 PM
MOHD Sofi menunjukkan dokumen Ulasan Penasihat Undang-Undang MAIM & Pengurusan Masjid JAIM pada sidang media hari ini. FOTO Khairunisah Lokman
MOHD Sofi menunjukkan dokumen Ulasan Penasihat Undang-Undang MAIM & Pengurusan Masjid JAIM pada sidang media hari ini. FOTO Khairunisah Lokman