WAN Ji ditahan ketika hadir memberi keterangan. FOTO Arkib NSTP.
WAN Ji ditahan ketika hadir memberi keterangan. FOTO Arkib NSTP.
Rizanizam Abdul Hamid


PENDAKWAH bebas Wan Ji Wan Hussin ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika hadir memberi keterangan pada 10 pagi, hari ini.

Pengarah JAIM Md Azhan Samad berkata, penahanan dilakukan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM Datuk Rahimin Bani selepas Wan Ji, 37, didakwa memberi ceramah tanpa tauliah ketika kuliah subuh di Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, Bukit Beruang, 14 Julai lalu

“Ya Wan Ji (ditahan) di Melaka pada 11.30 pagi tadi (hari ini). Difahamkan penahanan mengikut enakmen dan peraturan semasa (Seksyen 70 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka 1991).

“Ia (penahanan Wan Ji) berkaitan laporan kes di Masjid Bukit Beruang (Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj) dan ia adalah prosedur biasa untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Kalau ada prima facie barulah kita dakwa tapi kalau tiada, kes ditutup,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan pendakwah bebas.

Pada 21 Julai lalu, kekecohan berlaku susulan kehadiran pendakwah kontroversi itu ketika kuliah Maghrib di Masjid Ar Rahman Kampung Parit Melana, Durian Tunggal, Alor Gajah, hanya beberapa hari selepas ceramah tanpa tauliah di Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, Bukit Beruang.

Wan Ji pada 9 Julai lalu dijatuhi hukuman penjara setahun selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam, menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun pada 12 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan penangguhan hukuman penjara setahun terhadapnya sehingga proses rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 6:05 PM