Nurul Hidayah Bahaudin


DUA lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan dua mayat yang ditemui terapung di sungai berhampiran kawasan perumahan di Desa Coalfields, Sungai Buloh pada 26 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, dua lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun itu ditahan pada 29 dan 30 Januari lalu di sekitar Kuala Lumpur.

“Kedua-dua lelaki warga asing itu direman tujuh hari dari 31 Januari hingga 6 Februari ini bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut berhubung kes itu giat dijalankan termasuk mengenal pasti identiti mangsa kerana masih menunggu laporan DNA (asid deoksiribonukleik),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Operasi Selamat 14 (Op Selamat 14) sempena Tahun Baharu Cina 2019 peringkat Daerah Sungai Buloh di Pusat Komersial TSB hari ini.

Difahamkan tangkapan itu dibuat hasil laporan orang hilang membabitkan suami isteri dilaporkan wanita warga Indonesia di Kuala Lumpur yang dipercayai ada kaitan dengan kes berkenaan.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan penemuan masing-masing satu mayat lelaki dan wanita di sungai berkenaan oleh orang awam pada jam 4 petang.

Kedua-dua mayat berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sempurna iaitu tiada kaki dan tangan dan sudah reput kerana dipercayai meninggal dunia dua minggu.

Mayat dua mangsa terbabit dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum dicampak di sungai berkenaan.

Polis turut melancarkan operasi bagi mencari serpihan tangan, kepala dan kaki dua mangsa berkenaan di sungai itu sehari selepas penemuan dua mayat terbabit.

Bagaimanapun, operasi dilakukan oleh sepasukan unit skuba dan unit anjing pengesan (K9) polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak menemui serpihan mayat terbabit.

Berita berkaitan

'Mayat lelaki, wanita tanpa anggota badan'

'Operasi cari anggota badan mangsa bunuh dihentikan'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 11:12 AM