LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS masih menunggu keputusan DNA bagi mengesahkan identiti kedua-dua mangsa kes bunuh yang ditemui di sungai berhampiran kawasan perumahan Desa Coalfields, Sungai Buloh, pada 26 Januari lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya sudah mengambil cap jari mangsa serta sampel darah daripada ahli keluarga individu dipercayai mempunyai pertalian dengan kedua-dua mangsa bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), sampel darah dan cap jari yang diambil akan diserahkan ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengenal pasti identiti mangsa. Dalam kes ini, sampel darah dan cap jari sudah dihantar dan masih menunggu keputusan daripada jabatan berkenaan sama ada sepadan atau tidak dengan individu yang tampil sebagai ahli keluarga itu.

“Kami sedia maklum dengan maklumat diperoleh daripada polis Indonesia yang mengesahkan identiti seorang daripada mangsa. Setakat ini, kami hanya boleh sahkan kedua-dua mangsa adalah warga asing, namun identiti mangsa perlu disahkan sebaik menerima keputusan berkenaan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Majlis Penganugerahan Kontijen dan Daerah Terbaik Op Selamat 14 sempena Tahun Baru Cina 2019 di Persada PLUS, di Petaling Jaya, hari ini.

Katanya, keputusan DNA itu akan diperolehi dalam masa terdekat.

“Dua lelaki warga asing masih direman sehingga 25 Februari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sehingga kini, belum ada sebarang tangkapan baru dibuat berhubung kes itu,” katanya.

Pada 26 Januari lalu, mayat dua individu tanpa identiti ditemui berhampiran sungai di Desa Coalfields, Sungai Buloh.

Selain itu, satu plastik dipercayai mengandungi kepala, tangan dan kaki yang turut ditemui di lokasi kejadian oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan pada 2.30 petang.

Susulan itu, dua warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan dua mayat berkenaan.

Dua lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun tahun itu ditahan pada 29 dan 30 Januari lalu di sekitar Kuala Lumpur.

Semalam, Harian Metro melaporkan Meli Rahmawati, 33, isteri kepada ahli perniagaan tekstil Indonesia, Ujang Nuryanto, 37, menuntut keadilan terhadap suaminya yang dibunuh dengan kejam.

Nuryanto dikatakan datang ke Malaysia bagi mengutip hutang daripada beberapa pengusaha di Malaysia yang dianggarkan berjumlah RM547,000.

Sementara itu, Ketua Biro Penerangan Masyarakat Polis Republik Indonesia (POLSI) Brigidier Jeneral Dedi Prasetyo mengesahkan satu mayat yang ditemui adalah Nuryanto berdasarkan persamaan pada 12 titik kesamaan pada cap jari tepat yang dibandingkan dengan seorang daripada mangsa.

Berita berkaitan

2 suspek direman lima hari lagi

Dua lelaki warga asing ditahan

'Mayat lelaki, wanita tanpa anggota badan'

'Operasi cari anggota badan mangsa bunuh dihentikan'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 3:24 PM