Faliq Lajim


TIGA PULUH peti pembekal (Feeder Pillar) di sekitar Pelabuhan Klang mengalami kerosakan apabila komponennya hilang dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Kerosakan peti yang membekalkan tenaga elektrik bagi tiang lampu dan lampu isyarat itu menyebabkan lebih 40,000 penduduk terpaksa menggunakan beberapa jalan gelap sehingga membahayakan keselamatan mereka.

Antara kawasan yang kerap berlaku kecurian itu di Laguna Park Pulau Indah, Telok Gong, Jalan Kem, Kota Pendamar dan Kampung Sungai Pinang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, peti pembekal itu berada di tepi jalan atau persimpangan kawasan perumahan dan ia mudah dibuka untuk diceroboh.

“Komponen dalam peti itu digemari pencuri kerana ia mengandungi plat tembaga yang boleh dijual pada harga mahal kepada peniaga barangan lusuh dan kitar semula.

“Sejak kebelakangan ini, kes kecurian itu tidak terkawal dan jika dibaiki atau diganti baharu, hanya seminggu ia bertahan sebelum kembali rosak.

“Difahamkan, kebanyakan komponen itu dicuri penagih dadah yang sanggup menghadapi risiko terkena renjatan elektrik,” katanya ditemui selepas melawat beberapa lokasi kejadian vandalisme di daerah itu hari ini.

Turut hadir jurutera elektrik Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Amzar Zubir serta Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Asisten Superintendan Sukri Ayob.

Azmizam berkata, kos pembaikan dan penggantian komponen itu memerlukan perbelanjaan kira-kira RM4.7 juta.

“Justeru, kita meminta orang ramai yang melihat kejadian yang mencurigakan pada peti pembekal itu melaporkan kepada polis.

“JKR dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) juga akan memasang sangkar bernilai RM2,000 bagi setiap peti sedia ada dan yang akan dibaik pulih,” katanya.

Beliau berkata, kos baik pulih lebih tinggi daripada menggantikan peti pembekal baru yang menelan belanja RM15,000 hingga RM20,000 setiap satu.

“Setiap peti itu mampu menjana lebih satu kilometer tiang lampu dan lampu isyarat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 3:17 PM