KEADAAN bas ekspres yag terbabit dalam kemalangan dengan treler di Kilometer 305.2 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung di Gopeng, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN bas ekspres yag terbabit dalam kemalangan dengan treler di Kilometer 305.2 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung di Gopeng, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Hafizee Mohd Arop


SERAMAI 16 penumpang dan seorang pemandu cedera selepas bas ekspres dinaiki terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 305, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Gua Tempurung di Gopeng, hari ini.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, empat daripada kesemua mangsa yang cedera tersepit, manakala 13 lagi penumpang terselamat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng menerima panggilan kecemasan jam 6.06 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian dengan dibantu BBP Tapah.

Menurutnya, sebaik tiba anggota bomba mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah bas ekspres dengan treler membawa muatan besi buruk sebelum mendapati terdapat empat mangsa tersepit.

Katanya, empat mangsa iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki berusia 30 hingga 50 tahun itu tersepit di kerusi penumpang di belakang pemandu.

“Anggota bomba kemudiannya melakukan kerja-kerja menyelamat dengan menggunakan peralatan hidraulik untuk mengeluarkan empat mangsa yang tersepit.

“Kesemua mereka berjaya dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan termasuk 13 lagi mangsa lain yang cedera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 10:53 PM