PENUMPANG bas ekspres parah manakala empat yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan berat di kilometer 453 Lebuhraya PLUS berhampiran susur masuk Sungai Buloh, tengah malam tadi. FOTO NSTP
PENUMPANG bas ekspres parah manakala empat yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan berat di kilometer 453 Lebuhraya PLUS berhampiran susur masuk Sungai Buloh, tengah malam tadi. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEORANG penumpang bas ekspres parah, manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan berat di kilometer 453 Lebuhraya PLUS berhampiran susur masuk Sungai Buloh, tengah malam tadi.

Kejadian 11.53 malam itu dipercayai berlaku apabila sebuah lori tangki muatan habuk simen melanggar bas yang dari lorong kanan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, akibat pelanggaran itu, bas berkenaan terbalik sebelum lori tangki berkenaan terbabas dan melanggar dua lagi treler.

“Kejadian berkenaan menyebabkan seorang penumpang bas ekspres warga Singapura dikenali sebagai Neal Lim Zichen, 30-an parah di bahagian pinggul akibat tersepit.

“Bas berkenaan membawa 22 penumpang termasuk tiga kanak-kanak dalam perjalanan ke Kuala Lumpur,” katanya.

Sahimi berkata, tiga penumpang bas yang lain cedera selain seorang kelindan treler mengalami luka di bahagian tangan.

“Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 12:38 PM