DR Mahathir menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian  di antara Abdul Razak (dua dari kiri) dan Palanisamy di Serdang, semalam.
DR Mahathir menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian di antara Abdul Razak (dua dari kiri) dan Palanisamy di Serdang, semalam.
Nabil Basaruddin

SERDANG: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menerusi Medicare Assistance Sdn Bhd (MyCuepacsCare) dan Pos Malaysia Berhad menjalin kerjasama strategik bagi mempromosi Progam Takaful Penjawat Awam CuepacsCare dan CuepacsPA.

Kerjasama berkenaan adalah untuk memastikan kakitangan awam memiliki sekurang-kurangnya satu perlindungan takaful sebagai persediaan menghadapi sebarang musibah yang tidak dijangka.

MyCuepacsCare adalah pengendali program takaful berkenaan dan Pos Malaysia pula sebagai wakil pemasaran melalui kemudahan 681 cawangan Pos Malaysia
di seluruh negara.

CUEPACS dalam kenyataan berkata, setiap cawangan Pos Malaysia akan dibekalkan dengan sampul MyCuepacsCare yang mengandungi borang permohonan program takaful, Borang Potongan Gaji Biro Angkasa, risalah takaful dan sampul pos bayaran jelas.

Seterusnya, borang permohonan yang siap diisi perlu dimasukkan ke dalam sampul pos bayaran jelas yang disertakan sebelum diserahkan kepada cawangan Pejabat Pos Malaysia.

Penjawat Awam tidak akan dikenakan sebarang bayaran perkhidmatan pos.

Majlis kerjasama program takaful itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan MyCuepacsCare, K Palanisamy dan Ketua Pegawai Operasi Pos Niaga, Pos Malaysia, Abdul Razak Mohd A Kadir.

Menyaksikan perjanjian berkenaan adalah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda dan Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful Zuhairi Ismail.

Progam Takaful Penghospitalan CuepacsCare menyediakan kemudahan kad perubatan kepada penjawat awam dengan kadar sumbangan terendah di pasaran iaitu RM32 untuk pelan individu dan RM85 untuk pelan keluarga.

Penjawat awam dan ahli keluarga boleh mendapatkan rawatan perubatan di hospital pakar swasta untuk semua jenis penyakit seperti demam denggi, influenza, penyakit jantung dan kanser.

Walaupun kadar sumbangan bulanan CuepacsCare rendah berbanding polisi takaful di pasaran, ia menawarkan perlindungan komprehensif bagi seisi keluarga tanpa mengehadkan bilangan anak yang dilindungi.

Sementara itu, Program Takaful Kemalangan Diri CuepacsPA pula adalah perlindungan 24 jam melalui bayaran sumbangan yang rendah dan mampu milik oleh semua peringkat penjawat awam.

Selain itu, Program Perlindungan Kemalangan Diri CuepacsPA merangkumi perlindungan kewangan untuk kematian, kecacatan anggota badan sama ada kecacatan kekal, penuh atau separa sehingga RM440,000 dengan sumbangan bulanan serendah RM6 dan RM12 sebulan bagi setiap peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 10:02 AM