DUA individu termasuk seorang pengarah syarikat bergelar Datuk disambung reman tiga hari bagi membantu siasatan kes rasuah serta tuntutan palsu dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
DUA individu termasuk seorang pengarah syarikat bergelar Datuk disambung reman tiga hari bagi membantu siasatan kes rasuah serta tuntutan palsu dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Suhaila Shahrul Annuar


TEMPOH reman dua individu termasuk seorang pengarah syarikat bergelar Datuk dilanjutkan tiga hari lagi bagi membantu siasatan kes rasuah serta tuntutan palsu dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta.

Majistret Ahmad Afiq Hasan membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan tempoh tahanan reman kedua-dua lelaki itu bermula esok sehingga Isnin ini.

Rabu lalu, dua lelaki berkenaan direman selama tiga hari hingga hari ini bersama seorang wanita yang juga ejen insurans bagi membantu siasatan kes sama.

Bagaimanapun, mahkamah sama hari ini membebaskan wanita berkenaan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, ketiga-tiga mereka tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini pada jam 9.15 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Sebelum ini, sumber SPRM memberitahu ketiga-tiga suspek disyaki menerima rasuah daripada pembekal peralatan kilang berhubung pembelian mesin bagi operasi sebuah syarikat yang kedua-dua pengarah syarikat itu turut mempunyai saham.

Sumber turut memberitahu, ketiga-tiga suspek juga disyaki terbabit dalam salah guna kuasa ke atas dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kesemua mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM Selasa lalu ketika hadir memberi keterangan.

Pengarah syarikat bergelar Datuk berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari manakala seorang lagi suspek iaitu pengarah syarikat berusia 51 tahun pula kira-kira sejam kemudian manakala wanita yang juga ejen insurans berusia 29 tahun ditahan pada jam 2 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 12:16 PM