GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tiga penjawat awam direman kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM12,000 daripada sebuah syarikat berhubung kerja penurapan jalan yang tidak mengikut spesifikasi.

Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 16 Januari 2024 terhadap ketiga-tiga suspek yang berusia sekitar 30-an hingga 40-an dikeluarkan oleh Majistret Atiqah Mohamed selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pagi tadi.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek yang bekerja di sebuah agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan sekitar jam 7.45 malam semalam ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

"Ketiga-tiga suspek ini meminta dan menerima wang rasuah daripada syarikat berkenaan selepas mendapati kerja penurapan jalan yang dilaksanakan sekitar April hingga Jun 2023, tidak mengikut spesifikasi sebagaimana ditetapkan.

"Wang rasuah keseluruhannya sekitar RM12,000 kemudian dimasukkan ke dalam akaun peribadi ketiga-tiga suspek sebagai balasan supaya kompaun tidak dikeluarkan kepada syarikat berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap ketiga-tiga suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 8:55 PM