Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Tiga lelaki termasuk seorang pengarah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bergelar Datuk ditahan reman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan kes salah laku dan rasuah membabitkan nilai RM39.9 juta.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Sesyen Putrajaya Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman.

Pengarah berusia 50 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira 5 petang semalam sebelum dibawa ke ibu pejabat SPRM di sini.

Manakala, dua lagi suspek masing-masing adik Datuk berkenaan berusia 35 tahun dan seorang pengarah urusan GLC yang sama berusia 61 tahun.

Sebelum itu, ketiga-tiga suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira 9.30 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM dan dalam keadaan bergari.

Pengarah GLC bergelar Datuk itu dikatakan menganugerahkan projek bernilai hampir RM50 juta kepada syarikat berkepentingan dan mengambil wang suapan sebagai balasan, ketika memegang jawatan itu selama lima tahun bermula tahun 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 1:39 PM
SUSPEK di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
SUSPEK di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor