Shafien (dua dari kiri) menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada suspek samun. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Shafien (dua dari kiri) menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada suspek samun. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Ayusliza Azizan

Shah Alam: Empat lelaki yang melakukan jenayah samun membabitkan warga asing dan mendakwa diri mereka anggota polis ditahan pada 15 September lalu di Klang.

Dalam tangkapan kira-kira jam 3 petang itu, polis mengesan kenderaan sewa yang dinaiki penjenayah itu di Jalan Bendahara, Klang dengan menggunakan alat pengesan GPS.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, suspek berusia 23 hingga 38 tahun itu ditahan susulan aduan seorang saksi yang melihat kejadian jenayah itu membabitkan seorang lelaki warga Bangladesh di satu perhentian bas di Lebuhraya Persekutuan.

"Difahamkan mangsa didatangi seorang lelaki yang mendakwa anggota polis sebelum ditarik masuk ke dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva pada jam 11.30 pagi pada hari sama suspek ditangkap.

"Saksi ketika itu sempat merekod nombor pendaftaran kenderaan berkenaan dan menghubungi ibunya memaklumkan kejadian itu sebelum ibunya melaporkan kepada polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini tadi.

Shafien berkata, mangsa kemudian ditinggalkan di tepi jalan selepas berjaya mendapatkan barangan berharga.

Katanya, suspek mengulangi modus operandi sama dengan menyamun seorang lagi warga asing yang sedang menunggu bas di tempat sama pada jam 1 petang hari sama.

Menurutnya, dalam tangkapan berkenaan, polis merampas kenderaan yang disewa, wang tunai, telefon bimbit serta peralatan samun.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 4:42 PM