TUANKU Muhriz bersama Tuanku Aishah Rohani berkenan berangkat ke Istiadat Hari Keputeraan Ke-71 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Padang Besar Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah. FOTO Iqmal Haqim Rosman
TUANKU Muhriz bersama Tuanku Aishah Rohani berkenan berangkat ke Istiadat Hari Keputeraan Ke-71 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Padang Besar Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, mengingatkan pemimpin dan rakyat supaya tidak melepaskan peluang merencana negara menjadi lebih baik.

Baginda bertitah, rakyat harus bersyukur kerana diberi peluang untuk memperbaiki dan memperbetulkan semua kelemahan pentadbiran negara.

“Jadikan apa yang berlaku sebagai satu pengajaran kerana jika tidak, ia pasti akan berulang.

“Jangan lagi kita tunduk membiarkan hasil negara digunakan untuk kepentingan peribadi individu tertentu,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan Ke-71 baginda di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini.

Turut berangkat ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan kedua-dua putera baginda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Datuk Seri Zain Al-'Abidin.

Tuanku Muhriz turut bertitah, supaya tidak lagi membenarkan institusi pentadbiran negara terhalang daripada menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya.

“Jangan lagi kita hilang upaya dalam mengawal segala manipulasi yang berlaku,” titah baginda.

Justeru baginda bertitah, kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan perlu beramanah, bermaruah dan berpendirian tinggi untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan baik.

“Jalinlah kerjasama penuh harmoni dengan semua jentera pentadbiran kerajaan dari persekutuan sehingga akar umbi.

“Berikan contoh teladan yang baik kepada rakyat dengan saling bergandingan dalam melahirkan buah fikiran yang bermanfaat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri yang berterusan,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut bertitah, dalam negara majmuk seperti Malaysia, hubungan sosial antara kaum amat penting kerana ia akan membangkitkan semangat serta menghormati amalan dan budaya masing-masing.

“Kesefahaman dan sifat saling menghormati antara satu sama lain akan lebih menjamin kententeraman dan masyarakat bersatu-padu.

“Ingatlah semula cogan kata yang ada pada Jata Negara iaitu Bersekutu Bertambah Mutu,” titah baginda.

Sempena hari keputeraan baginda, Menteri Besar, Aminuddin Harun mendahului senarai 340 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat dengan dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Pada istiadat hari ini, turut menerima darjah kebesaran sama adalah Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Hamid Bador.

Selain itu tiga orang pula menerima Darjah Dato’ Paduka Negeri Sembilan, Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (16), Darjah Setia Negeri Sembilan (sembilan), Darjah Tuanku Muhriz (5).

Darjah Pekerti Terpilih (10), Pingat Ahli Setia Negeri Sembilan (42), Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (86), Pingat Jasa Kebaktian (140), Pingat Khidmat Lama (15) dan Bentara Tuanku Muhriz (12).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 12:44 PM