TUANKU Muhriz berkenan bertitah pada Istiadat Penyerahan Watikah,
TUANKU Muhriz berkenan bertitah pada Istiadat Penyerahan Watikah,
BERNAMA

Kuala Pilah: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini bertitah supaya semua wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu untuk terus berbakti kepada rakyat dan menyuarakan permasalahan dan keperluan mereka.

Tuanku Muhriz bertitah, fokus dan keutamaan wakil rakyat berkenaan adalah kepada kepentingan dan perkhidmatan rakyat di negeri ini serta memberi taat setia kepada rakyat bukan untuk kepentingan mana-mana parti politik serta peribadi.

"Negeri ini amat memerlukan pimpinan beramanah tinggi dan berpendirian tinggi (person of honor) sesuai dengan gelaran Yang Berhormat yang diterima (wakil rakyat).

"Kepada calon yang dipilih beta berharap kamu semua terus berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

"Menyalahgunakan kedudukan yang ada menjurus kepada ketidakadilan dan kerapuhan kepada pelaksanaan dasar yang dirangka untuk kebaikan rakyat.

"Beta juga mengingatkan semua untuk bekerjasama dan memelihara serta mengambil bahagian dengan baik dalam setiap perancangan terutama ketika Dewan Undangan Negeri bersidang, bagi memastikan rakyat sentiasa mendapat nikmat daripada dasar dilaksanakan," titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sikamat Datuk Seri Aminuddin Harun di Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.

Baginda turut bertitah supaya urusan pentadbiran di jabatan serta agensi kerajaan yang ada di negeri ini bebas daripada sebarang unsur penyelewengan serta salah guna kuasa, dan seterusnya kerajaan Negeri Sembilan menjadi contoh kerajaan yang bersih dan adil.

Baginda menyeru kepada seluruh anggota tentera dan polis serta semua agensi keselamatan untuk terus berkhidmat kepada Raja dan Negara selain badan kehakiman dan agensi penguatkuasaan terus berkhidmat dengan bebas dan profesional berpaksikan keadilan dan kesaksamaan.

Tuanku Muhriz turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Aminuddin dan memberikan kepercayaan kepada beliau untuk terus berkhidmat dengan bersungguh-sungguh dan jujur selain yakin amanah yang diberikan akan dilaksanakan dengan penuh integriti sekali gus memastikan rakyat menikmati hasilnya.

"Terima kasih juga kepada bekas Adun dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang telah memberikan khidmat pada penggal yang lalu.

"Kepada calon yang tidak dipilih dalam pilihan raya kali ini, Beta berharap kamu semua terus menabur bakti dan sumbangan kepada masyarakat," titah baginda.

Keputusan PRN Negeri Sembilan pada Sabtu lalu, menyaksikan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat 31 kerusi iaitu 17 kerusi PH dan 14 kerusi BN manakala Perikatan Nasional (PN) lima kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 6:04 PM