Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir  (kanan) menerima Titah Ucapan Perasmian yang dipersembahkan oleh Aminuddin pada Perasmian Persidangan Pertama Penggal Kelima, DUN Negeri Sembilan, ke-14, hari ini. FOTO BERNAMA
Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir (kanan) menerima Titah Ucapan Perasmian yang dipersembahkan oleh Aminuddin pada Perasmian Persidangan Pertama Penggal Kelima, DUN Negeri Sembilan, ke-14, hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil


Seremban: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menggesa kerajaan negeri memperkasakan program pembangunan luar bandar seiring dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Baginda bertitah, ia penting supaya manfaatnya meliputi infrastruktur ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian dapat dilaksanakan dengan berkesan dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat di luar bandar.

"Program pembangunan luar bandar perlu diperkasakan. Justeru kerajaan hendaklah memberi tumpuan dalam penyediaan infrastruktur perkhidmatan telekomunikasi yang efisien ke seluruh negeri bagi pembentukan ekosistem digital yang lebih baik.

"Usaha ini kelak bakal mendorong transformasi sistem penyampaian kerajaan, membantu pertumbuhan ekonomi, serta meningkat keupayaan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (IKS)," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di sini, hari ini.

Tuanku Muhriz bertitah, kerajaan negeri juga perlu memberikan perhatian terhadap isu tanah adat dengan memastikan pengurusannya ditambah baik dan kepentingan generasi masyarakat Adat Perpatih serta Adat Temenggung di Negeri Sembilan sentiasa dilindungi.

Titah baginda, usaha mengemaskini undang-undang bertulis berkaitan pemegangan tanah adat melalui penggubalan Rang Undang-Undang Pemegangan Tanah Adat 2022 yang akan dibentangkan di dewan yang mulia ini adalah wajar.

"Diharapkan dengan penggubalan Rang Undang-Undang ini, pembangunan yang menyeluruh akan dapat dilaksanakan terhadap tanah adat dan tanah lingkungan di negeri ini," titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah, pihak berkuasa tempatan (PBT) pula perlu memastikan kawasan perindustrian sentiasa diselenggara dan berada dalam keadaan kondusif bagi memenuhi keperluan operasi sesebuah perusahaan.

"Persekitaran mesra digital serta penggunaan automasi dan teknologi tinggi boleh menjadi tarikan kepada pelabur untuk beralih daripada industri berintensifkan buruh kos rendah kepada industri berteknologi tinggi.

"Di samping itu, ia boleh memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan negeri ini dan seterusnya berupaya untuk mengurangkan penggunaan tenaga buruh asing," titahnya.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz berpuas hati dengan usaha dilakukan kerajaan negeri dalam program dan insentif pelaburan dilaksanakan sehingga berjaya mencatatkan pelaburan sebanyak RM5.8 bilion melebihi sasaran RM5 bilion, tahun lalu.

Baginda mahu kerajaan negeri mengenal pasti sektor yang mesti diberikan tumpuan supaya setiap perbelanjaan yang dikeluarkan mampu menjana impak yang optimum kepada ekonomi negeri seterusnya memberi pulangan hasil kepada kerajaan.

"Inisiatif baharu dan aktiviti tambah nilai menerusi penggunaan automasi dan teknologi untuk memajukan sektor perladangan, komoditi, pekebun kecil, pertanian dan industri makanan perlu dipercepatkan pelaksanaannya.

"Sektor ini sangat berpotensi untuk penciptaan sumber kekayaan baharu di samping berupaya menjamin sekuriti dan nutrisi makanan negeri dan negara," titahnya.

Sementara itu, Tuanku Muhriz turut mengingatkan rakyat beragama Islam di pelbagai peringkat, supaya tidak menjadikan rumah ibadat sebagai medan politik perpecahan kerana ia boleh merosakkan pengurusan dan pentadbiran Islam di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 2:31 PM