SUSPEK yang berseluar pendek dan berbadan tegap  dirakam CCTV.
SUSPEK yang berseluar pendek dan berbadan tegap dirakam CCTV.

Kuala Lumpur: Seorang pemilik rumah mendapati kecurian yang berlaku kediamannya dilakukan dua lelaki bertubuh sasa dan hanya memakai seluar pendek.

Dalam kejadian jam 3.30 petang kelmarin, suspek dikatakan menceroboh masuk kediaman mangsa di SS2, Petaling Jaya di sini, walaupun menyedari kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di rumah itu.

Suspek berusia 20-an dikesan menceroboh masuk melalui pintu hadapan kediaman itu sebelum melarikan pelbagai barangan berharga termasuk RM20,000.

Mangsa dikenali sebagai Sunny,38, berkata, ketika kejadian dia dan keluarga tidak berada di rumah.

Menurutnya, dia terkejut apabila mendapati terdapat kesan umpil pada pintu hadapan rumahnya selain keadaan rumah yang berselerak selepas pulang sekitar jam 5 petang.

“Saya meneliti rakaman CCTV sebelum mendapati dua lelaki menceroboh masuk ke rumah saya.

“Seorang suspek memakai seluar pendek dan berbadan tegap. Sekali pandang, memang tak sangka mereka penyamun,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia yakin dua suspek itu warga tempatan walaupun suspek cuba mengelak wajah mereka dirakam CCTV.

“Mereka tidak memakai topeng, tetapi cuba menutup muka dengan baju bagi mengelakkan wajah mereka dirakam,” katanya yang sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:10 AM