MANGSA menerima rawatan akibat ditetak di Padang Serai. FOTO ihsan pembaca
MANGSA menerima rawatan akibat ditetak di Padang Serai. FOTO ihsan pembaca
Azahar Hashim


DUA remaja lelaki parah selepas diserang secara tiba-tiba oleh sekumpulan lelaki di padang permainan Padang Serai, dekat Kulim, kelmarin.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, dua remaja berusia 19 tahun berkenaan sedang bersembang sebelum kereta membawa beberapa lelaki berhenti berdekatan mereka.

Dua lelaki berusia lingkungan 20-an kemudian keluar dari kereta dan bertanya nama seorang lelaki yang dikatakan tinggal di kawasan berkenaan, namun kedua-dua mangsa memaklumkan tidak mengenali individu tersebut.

Berang dengan jawapan itu, kedua-dua lelaki terbabit mengeluarkan senjata dan menetak mangsa berkali-kali sebelum mereka melarikan diri.

Akibatnya, seorang mangsa hampir putus jari tangan kiri dan rakannya cedera pada tangan kiri menyebabkan mereka terpaksa dikejarkan ke Hospital Kulim bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, kedua-dua mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan susulan.

“Polis masih menyiasat motif serta punca sebenar kejadian dan berdasarkan siasatan awal, kedua-dua mangsa mengakui tidak mengenali suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan tiada tangkapan dilakukan setakat ini” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 7:06 PM