Kereta lelaki yang ditahan polis ketika membawa ribuan botol ubat batuk. FOTO Ihsan PDRM
Kereta lelaki yang ditahan polis ketika membawa ribuan botol ubat batuk. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


CUBAAN lelaki membawa 44 kotak berisi 4,372 botol ubat batuk untuk dijual di kampungnya di Kangar, Perlis, gagal selepas ditahan polis malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, anggota unit peronda polis (MPV) yang membuat rondaan mendapati sebuah kereta dipandu lelaki berusia 34 tahun dalam keadaan mencurigakan berhampiran Plaza Tol Alor Setar Utara.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, anggota MPV terbabit kemudian menghampiri kereta itu dan memintanya berhenti namun suspek memecut laju memasuki laluan bertentangan menghala ke Bandar Darul Aman.

Menurutnya, anggota MPV mengejar suspek sebelum keretanya hilang kawalan dan berhenti di penghujung jalan di Taman Suasana Damai, Bandar Darul Aman.

“Suspek kemudian ditahan sebelum pemeriksaan lanjut di dalam kereta menemui 44 kotak mengandungi ubat batuk dan satu kotak mengandungi 72 botol bertanda ‘Upjadly Forte’.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut dan siasatan awal dia mengaku mengambil ubat batuk itu dari Ipoh untuk dijual di kampungnya,” katanya.

Mohd Ismail berkata, semakan juga mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

FOTO Ihsan PDRM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 6:25 PM