LELAKI yang ditahan kerana mencuri kotak paracetamol di sebuah pasar raya besar di Kulim, semalam. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI yang ditahan kerana mencuri kotak paracetamol di sebuah pasar raya besar di Kulim, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Muhammad Mustakim Ramli


LELAKI ditahan selepas dipercayai mencuri 55 kotak paracetamol di sebuah pasar raya besar di Kulim, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, suspek, 32, diberkas pengawal keselamatan dan kakitangan pasar raya selepas perbuatannya itu dikesan.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, pengawal keselamatan yang sedang membuat rondaan di bahagian penjagaan kesihatan melihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Salah seorang suspek kemudian dilihat mengambil kotak ubat berkenaan dalam jumlah yang banyak dan meletakkannya di dalam bakul yang dipegang.

“Pengawal keselamatan berkenaan mengekori mereka sehingga ke bahagian jualan sabun dan melihat beberapa kotak ubat itu dimasukkan ke dalam beg sandang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, suspek kemudian ditahan pengawal keselamatan berkenaan untuk pemeriksaan, bagaimanapun lelaki itu melarikan diri dengan melompat keluar di bahagian kaunter juruwang bersama barangan yang dicuri.

“Seorang lagi suspek, bagaimanapun tidak sempat melarikan diri apabila berjaya ditahan kakitangan pasar raya dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati sebanyak 55 kotak ubat pelbagai jenis dicuri oleh suspek berkenaan dianggarkan bernilai RM806.71,” katanya.

Katanya, suspek yang berasal dari Pulau Pinang tidak mengaku melakukan jenayah berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek tiada rekod jenayah dan polis sedang mengesan rakan lelaki itu untuk siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 11:35 AM