GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Penahanan penjawat awam yang mencuri pelbagai jenis barang termasuk sepapan telur gred A di pasar raya di Kuala Terengganu pada Rabu lalu membongkar rahsia kegiatan jenayah sebelum ini.

Selepas kejadian 1.50 petang itu, lelaki berusia 32 tahun terbabit rupanya individu dikehendaki pasar raya berkenaan kerana disyaki mencuri televisyen sebelum ini.

Sumber berkata, suspek ditahan selepas pengawal keselamatan yang sedang bertugas curiga dengan tindak tanduk suspek.

Katanya, pengawal keselamatan kemudian bertindak mengekori suspek dan menahannya di hadapan pasar raya terbabit.

“Ketika ditahan, suspek sedang memegang pelbagai jenis barang termasuk sepapan telur gred A dengan keseluruhan barangan yang dicuri dianggarkan bernilai hampir RM130.

“Hasil siasatan mendapati suspek adalah individu dikehendaki pasar raya berkenaan kerana disyaki mencuri televisyen dan suspek turut mengaku pernah mencuri lima unit televisyen membabitkan kerugian RM1,033,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 5:31 PM